Berita Utama

Polis trafik ‘bergadai nyawa’ jalankan tugas wajar dapat penghargaan

Hampir dilanggar ketika tahan pemandu langgar lampu isyarat

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Tindakan terpuji seorang anggota keselamatan yang bertarung nyawa ketika menjalankan tugas demi kemaslahatan semua pihak wajar diberi penghormatan.

Isnin lalu, seorang polis trafik terpaksa melepaskan tembakan apabila sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak mahu melanggar anggota terbabit.

Insiden itu berlaku di Jalan Kampung Padang Balang ketika anggota trafik berkenaan sedang bertugas di lampu isyarat Jalan Genting Klang susur Jalan Air Panas sebelum melihat sebuah kereta jenis Nissan Teana berwarna hitam melanggar lampu isyarat.

Anggota trafik itu cuba menahan namun dua lelaki yang menaiki kereta itu enggan memberhentikan kenderaan dan terus memecut laju ke arah Jalan Gombak.

Beliau kemudian mengekori kereta suspek dengan menaiki motosikal dan suspek cuba menghimpitnya serta melanggar beberapa buah kenderaan ketika melalui Jalan Gombak menuju ke Kampung Padang Balang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, ketika itu keadaan trafik agak sesak membuat anggota trafik itu memberhentikan motosikal di tepi jalan dan cuba mengejar serta mengarahkan suspek untuk memberhentikan kenderaan namun suspek bertindak cuba melanggarnya.

Jelasnya, anggota trafik itu terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta suspek di bahagian hadapan sebelah kanan dengan niat mempertahankan diri kerana diancam.

Bagaimanapun suspek tidak memberhentikan kenderaan dan terus memecut laju sehingga memasuki Lebuh Raya Duke.

“Seterusnya, kenderaan suspek terbabas dan tersangkut di penghadang jalan di tengah Lebuh Raya Duke, namun kedua suspek telah melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta terbabit telah menemui sepaket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dan mendapati kereta terbabit milik seorang wanita di Senai, Johor,” katanya.

Mengambil maklum mengenai perkembangan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Omar Kassim berkata, pegawai terbabit harus dikenalpasti dan diberikan penghormatan sewajarnya.

“Syabas kepada anggota keselamatan ini yang bertarung nyawa menjalankan tugasnya memastikan keselamatan orang ramai.

“Inilah tugasan harian pihak keselamatan, yang mutakhir ini sering kali mendapat caci maki dari orang ramai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button