Berita Utama

Pusat panggilan judi diserbu, 9 warga tempatan ditahan

Anggaran untung urus niaga sindiket RM500,000 sehari

KUALA LUMPUR, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Polis menyerbu pusat panggilan kegiatan judi dalam talian yang beroperasi di sebuah bangunan pejabat di Mont Kiara di sini semalam dan menahan sembilan individu, termasuk empat wanita.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek yang terdiri daripada warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun ditahan oleh anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada kira-kira 12 tengah hari.

“Polis merampas pelbagai barangan antaranya 10 set komputer serta enam telefon bimbit dan sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama setahun,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti promosi perjudian untuk warga China di negara itu menggunakan aplikasi WeChat, Telegram serta QQ Chat.

“Premis ini didapati beroperasi 24 jam sehari dan pekerja akan mengawal komputer utama serta telefon bimbit.

“Anggaran keuntungan urus niaga sindiket ini ialah RM500,000 sehari dan premis ini disewa dengan harga sewaan RM6,000 sebulan.

“Selain itu, setiap pekerja menerima bayaran antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan,” katanya.

Mazlan berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dan tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada di dalam premis terbabit.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian boleh menghubungi Bahagian D7 IPK Kuala Lumpur di talian 03-2146 0649 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close