Berita Utama

Sarawak minta buka kaunter JPJ di UTC

Sesak, orang ramai beratur panjang tunggu giliran

KUCHING, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Kerajaan Sarawak meminta Kementerian Pengangkutan segera membenarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kaunter perkhidmatannya di semua Pusat Tranformasi Bandar (UTC) seluruh negeri itu.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, ini berikutan kesesakan orang ramai yang beratur panjang menunggu giliran bagi berurusan di kaunter pejabat JPJ di negeri itu sejak ia dibuka semula pada 18 Mei lepas.

“Saya baru menghubungi Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berhubung masalah kita di Sarawak ini. Kita meminta supaya kaunter perkhidmatan JPJ di UTC kalau dapat dibuka secepat mungkin, (seboleh-bolehnya) selepas Hari Raya untuk mengurangkan kesesakan ini,” katanya selepas melawat ibu pejabat JPJ Sarawak di Kilometer 18.5 Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini, di ibu pejabat JPJ Sarawak sahaja orang ramai beratur sehingga 300 meter di luar pejabat itu bagi menunggu giliran berurusan dengan kaunter perkhidmatannya.

Ini terutama bagi memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang tamat tempoh walaupun orang ramai sebenarnya diberikan masa selama 30 hari selepas tamat PKP bagi memperbaharuinya dan tidak akan dikenakan tindakan polis serta JPJ sepanjang tempoh itu.

Oleh itu, Lee meminta orang ramai agar tidak terburu-buru memperbaharui lesen serta cukai jalan sambil menambah bahawa mereka juga boleh berbuat demikian di pejabat pos.

Beliau turut mencadangkan agar JPJ Sarawak mendirikan khemah kanopi bagi orang ramai yang beratur panjang di luar pejabatnya di seluruh negeri itu bagi membolehkan mereka berlindung daripada hujan dan panas.

“Saya juga mencadangkan pembukaan satu lorong beratur khas bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas di pejabat JPJ,” katanya.

Lee turut mengumumkan bahawa JPJ Sarawak sudah melanjutkan tempoh penerimaan bayaran secara tunai bagi urusannya iaitu dari 8 pagi hingga 1 tengah hari berbanding 8 pagi hingga 11 pagi sebelum ini.

Katanya ini disebabkan kutipan wang tunai daripada urus niaga terbabit perlu dihantar ke bank sebelum 2 petang manakala pembayaran secara e-payment, termasuk kad kredit, adalah sehingga 4 petang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button