Berita Utama

Xavier melampau hina titah Agong, patut letak jawatan

PEMBELA ajak rakyat, pemimpin cintakan negara buat laporan polis

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Datuk Dr Xavier Jayakumar gagal menjadi Ahli Parlimen yang baik kerana beliau sendiri bertindak menghina Parlimen, tegas Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

Bukan itu sahaja, Ustaz Masrizi Sat berkata, Xavier juga gagal menjadi warganegara yang baik kerana secara terbuka meluahkan kebencian kepada kerajaan dan menjadikan titah Tuanku Yang Di-Pertuan Agong dihina dan dibakul sampahkan.

“Beliau gagal menjadi pembangkang yang baik apabila kebencian kepada parti dan pemimpin politik pemerintah ditukar kebencian kepada Parlimen, titah YDPA dan kerajaan Malaysia.

“… Jadi eloklah beliau meletakkan jawatan kerana bersikap tidak profesional, emosi melampau, meluahkan perasaan yang boleh menghasut rakyat membenci kerajaan dan menentang titah Tuanku YDPA,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan Xavier menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sidang Dewan Rakyat mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 dengan menyifatkan ia sebagai ‘sampah’.

Menerusi rakaman selama hampir tiga minit itu, beliau berkata, Sidang Dewan Rakyat tersebut ‘tidak berguna’ kerana hanya dibenarkan berlangsung satu jam, sebelum semua Ahli Parlimen diarahkan pulang selepas mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan pandemik COVID-19.

Serentak itu, Ustaz Masrizi menggesa semua rakyat serta pemimpin yang cintakan keamanan dan taat setia kepada raja dan negara untuk membuat laporan polis terhadap Xavier ekoran keceluparannya.

“Pihak keselamatan akan bertindak setelah melihat kesungguhan laporan-laporan kita semua,” tegasnya.

Semalam, PEMBELA telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ke atas Xavier Jayakumar susulan kenyataan dalam video yang tular di media sosial berhubung persidangan Parlimen itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close