Berita Utama

MB bimbang peningkatan kes harian Perlis ke zon merah

Beliau sedih kebebasan bergerak, buka ekonomi telah disia-siakan

KANGAR, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketara kes harian COVID-19 di Perlis sejak lima hari lepas sehingga mencecah lebih 20 kes sehari

Azlan berkata beliau berasa sedih apabila kebebasan bergerak dan pembukaan sektor ekonomi menerusi peralihan ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah disia-siakan dengan peningkatan jumlah kes harian secara kumulatif yang hampir mencecah 1,000 kes positif.

“Ini telah mengundurkan kita ke zon merah semula, walaupun sudah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 4 Ogos lalu,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.

“Saya percaya majoriti rakyat telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19 tetapi masih terdapat sebilangan kecil ahli masyarakat yang tidak mengambil serius soal pematuhan SOP ini,” katanya.

Beliau berkata situasi ini telah mengundang risiko untuk dijangkiti virus dan usah terkejut jika kes-kes positif di Perlis akan meningkat secara luar biasa, atau apa yang diistilahkan sebagai exponential increase.

Justeru, Menteri Besar Perlis itu meminta rakyat negeri ini agar elak keluar dari rumah dan mematuhi SOP dalam masa terdekat ini dan katanya daripada maklumat diperolehnya, orang ramai sudah mula berasa takut keluar rumah kerana bimbang dijangkiti wabak COVID-19.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, sebanyak 23 kes baharu COVID-19 dicatatkan semalam dengan kes terkumpul sebanyak 910 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button