Berita Utama

5 tekong darat didakwa seludup, sembunyi migran

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun, denda

KOTA TINGGI, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Lima tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berasingan menyeludup, melindungi dan menyembunyikan migran, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.

Mengikut kertas pertuduhan, Goh Wai Kheong, 51; Sulaiman Jalal,48; Mohd Hassan Awang, 43; Mohd Fazlee Mohamad Nazir, 34; dan Nur Izzat Awang, 30, dituduh menyeludup, melindungi dan menyembunyikan lima migran di Kampung Bukit Raja Darat Sungai Rengit, Kota Tinggi antara 12 hingga 20 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima belas tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Zahilah kemudiannya menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula kes tersebut.

Dalam mahkamah yang sama, seorang pemandu teksi dikenakan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah membenarkan dua migran warga Indonesia menaiki kenderaan jenis Toyota Innova berwarna merah yang disewa daripada individu lain.

Abd Wadi Muhamad, 38, didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 Mei lepas di Kilometer 58, Jalan Johor-Mersing dan didakwa mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu pada prosiding sama, dua migran warga Indonesia Ekawati, 21, dan Chandra, 20, yang bekerja sebagai pekerja kebun, masing-masing dihukum penjara tiga dan empat bulan atas kesalahan berada di negara ini tanpa dokumen yang sah.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada 3 Mei kira-kira pukul 10 malam di Kilometer 58, Jalan Johor-Mersing.

Pendakwaan semua kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close