Berita Utama

APMM Labuan pertingkat rondaan laut semasa musim perayaan

Fokus utama pencerobohan pendatang, penyeludupan, penangkapan ikan secara haram

LABUAN, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan akan mempertingkat tahap rondaan di perairan pulau itu semasa musim perayaan bagi mencegah aktiviti berkaitan jenayah maritim.

Pengarah APMM Zon Labuan, Komander Nor Bakari Abu Bakar berkata, fokus utama operasi ialah memeriksa kemungkinan pencerobohan pendatang tanpa izin, aktiviti penyeludupan dan penangkapan ikan secara haram.

“Memandangkan semua kakitangan kami bertugas, penguatkuasaaan dan rondaan akan dipertingkat bagi mengekang aktiviti jenayah serta kesalahan maritim di laut.

“Kami menyedari bahawa semasa musim perayaan, aktiviti penyeludupan akan meningkat; penyeludup fikir kebanyakan kakitangan kami akan bercuti, tetapi mereka silap kerana kami akan meningkatkan operasi dengan lebih ramai kakitangan dan aset kami akan digerakkan bagi tujuan operasi itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau menyeru semua yang melakukan perjalanan laut untuk mengunjungi keluarga dan rakan semasa musim perayaan di pulau-pulau agar memastikan mereka memakai ves keselamatan dan mempunyai peralatan keselamatan yang sewajarnya ketika menaiki bot.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada APPM Labuan di talian 087-427999. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close