Berita Utama

Harga rumah tinggi, pendapatan tak setimpal dengan kos sara hidup

Kekangan untuk pinjaman, antara faktor sukar dapatkan akses perumahan

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Sudah tiba masa untuk mengubah minda dan persepsi bahawa rumah tidak semestinya menjadi satu aset yang perlu dimiliki.

Disebabkan pandemik COVID-19, ramai yangg kehilangan kerja tidak mampu membayar sewa rumah, bahkan ada yang terpaksa melepaskan rumah mereka semata-mata untuk menjamin kelangsungan hidup.

Situasi ini menjadi lebih teruk apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan sebanyak 2.4 juta rakyat Malaysia berhadapan krisis kehilangan kerja dari pelbagai industri dan sektor.

Mereka ini bagai jatuh ditimpa tangga kerana isu perumahan dan cabaran untuk akses kepada perumahan bertambah parah pada masa pandemik COVID-19 ini.

“Masalah ini perlu dipandang serius semua pihak,” demikian kata Dr Mahazril ‘Aini Yaacob, Pensyarah Kanan Pentadbiran Awam & Polisi Sosial, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau berkata, rata-rata penyewa menghadapi cabaran dari sudut bayaran sewa agak tinggi dan peningkatan sewa oleh tuan rumah tanpa kawalan.

Semua isu perumahan ini memang memberi kesan kepada rakyat terutama golongan muda berpendapatan rendah dan sederhana, katanya.

“Apatah lagi dalam situasi harga rumah yang tinggi dan pendapatan tidak setimpal dengan kos sara hidup di negara ini.

“Di tambah pula kekangan dalam mendapatkan pinjaman perumahan hingga ia menjadi antara faktor ketiadaan peluang mendapatkan akses perumahan itu sendiri,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Bagaimanapun, kita tidak boleh terus menyalahkan harga rumah di pasaran atau institusi perbankan yang memberikan syarat ketat bagi pinjaman perumahan.

Ini kerana, kekurangan pengetahuan mengenai perumahan menjadi penyebab kenapa ramai tidak mempunyai peluang mendapatkan akses perumahan.

“Apatah lagi trend golongan muda lebih mementingkan gaya hidup ranggi dan terkini serta berbelanja melebihi kemampuan.

“Kita dapat lihat generasi muda pada hari ini lebih mementingkan jenama apa dipakai, kafe mana yang dihabiskan setiap hujung minggu dan kereta apa dimiliki bagi refleksi kejayaan, sekali gus mengheret mereka kepada isu serta masalah perumahan.

“Tidak hairanlah golongan ini disenaraikan antara tertinggi berdepan masalah kewangan dengan 60 peratus golongan muda diisytihar muflis mengikut laporan dikeluarkan Bank Dunia pada 2019,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button