Berita Utama

Polis panggil MB Selangor berhubung kuarantin

Amirudin didakwa ingkar kuarantin 5 Oktober lepas

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu  – Polis akan memanggil Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ke Bukit Aman dalam tempoh terdekat, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan sedang dijalankan susulan satu kenyataan dimuat naik berhubung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu yang didakwa ingkar kuarantin pada 5 Oktober lepas.

“Beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan beberapa saksi lain juga akan dipanggil,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 serta Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan berkaitan usaha kerajaan membendung penularan jangkitan COVID-19.

Amirudin sebelum ini menjalani kuarantin kendiri di rumah bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan sebaik pulang daripada Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas.

Pada 4 Oktober lepas, Amirudin menerusi akaun Twitternya memohon maaf apabila terpaksa keluar daripada menjalani kuarantin bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas.

Menerusi hantaran sama, Amirudin berkata, beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, manakala kedua-dua ujian saringan yang dilakukannya menunjukkan keputusan negatif.

Amirudin turut memaklumkan beliau melawat Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada awal bulan ini, dilaporkan berkata sedang meneliti kes membabitkan Amirudin, termasuk permohonan maaf beliau menerusi media sosial sebelum sebarang tindakan susulan diambil. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button