Berita Utama

COVID-19: 50 kes baharu, 90 pulih, tiada kematian

3 kes import dapat jangkitan di luar negara, 47 kes penularan tempatan

PUTRAJAYA, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Sebanyak 50 kes baharu positif COVID-19 dicatat hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 7,059 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,149 kes, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada 50 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 47 kes adalah penularan tempatan.

“Bagi 47 kes penularan tempatan itu, 41 kes melibatkan bukan warga Malaysia dengan 34 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Mereka ini telah berada dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 90 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 5,796 kes (82.1 peratus).

Katanya, bilangan kes pulih adalah hampir dua kali ganda kes baharu yang dilaporkan.

Dalam pada itu, beliau, berkata tiada kes kematian direkodkan hari ini sekali gus menjadikan kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 114 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close