Berita Utama

Degil! PLUS menghala Utara sesak teruk ‘orang balik beraya’

Dipercayai cuba pulang ke kampung meskipun dihalang

BANGI, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Meskipun kerajaan bertegas tiada lagi pergerakan rentas negeri boleh dilakukan kecuali atas alasan kecemasan, namun rakyat dilihat masih berdegil dan ingkar dengan arahan yang dikeluarkan.

Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan kenderaan bersesak panjang akibat sekatan polis dipercayai berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke arah Utara.

Video berdurasi 2 minit 21 saat itu memperlihatkan kesesakan teruk bermula dari Tanjung Malim sehingga ke Lembah Beringin.

Dipercayai video itu dirakam hari ini sekitar jam 11 pagi tadi oleh seorang pengguna lebuh raya yang tidak dikenali dan ia telah dikongsi lebih 1,600 kali.

 

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu yang masih berdegil dengan cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri bukan sahaja akan diarah berpatah balik, malah dikompaun serta-merta.

Katanya, keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan bahawa pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali.

“Polis tidak akan benarkan. Kita tidak membuka ruang rentas negeri lagi. ‘No more’,” katanya.

Menurut Ismail, pada Rabu sejumlah 271,646 kenderaan telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Daripada jumlah itu, 2,412 kenderaan telah cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan telah diarah patah balik.

Sementara itu, Ismail Sabri menambah orang ramai masih boleh merentas daerah dalam sesebuah negeri bagi menyambut akhir Ramadan dan Aidilftiri.

Namun mereka masih tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh MKN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close