Berita UtamaPendapat

Hari ini dalam sejarah warga guru

Sempurna agama, kehidupan, Rasulullah paling berpengaruh di dunia

SAMBUTAN Hari Guru pada 16 Mei 2020 yang lepas ‘memang hari ini dalam sejarah’ bagi warga guru.

Apa tidaknya, tiada hadiah terkumpul, tiada salaman tangan-tangan kecil, tetapi saya yakin bahagia tetap datang apabila anak-anak didik, kawan-kawan, para ibubapa, adik beradik dan semua insan yang mengenali dan menyayanginya menghantar pelbagai ucapan di media sosial.

Itulah norma baharu di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/ Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, tapi itu hanya pada sambutan, hakikat tugas dan amanah di pundak seorang guru tetap sama, malah bertambah berat seiring dengan cabaran.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita.

Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu, di mana kerajaan sangat menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat, selaras dgn Malaysia sebuah Negara Berperlembagaan dan rakyat majmuk.

Hebat seorang guru,walau apapun gelaran yang diberi, baik cikgu, teacher, sir, muallim dan muallimah, ustaz dan ustazah, coach, mentor dan sebagainya adalah kerana pengaruhnya.

Bukan hanya ilmu menghiasi akal yang disampaikan tetapi yang utama adalah suri teladan, akhlaknya yang mulia itulah yang terkesan dan bermakna mewarnai karakter dan jatidiri anak didik;

Elok ilmu kerana guru
Elok kaji kerana budi
Elok cakap kerana beradab
Elok pengajar kerana benar’

Benar kata almarhum Datuk Usman Awang dalam sajaknya Guru Oh Guru…. 1979

“Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca,”

Tidak ada seorang manusia pun yang berjaya di dunia ini dalam apa juga bidang kecuali hidup mereka mesti dicorakkan oleh seorang guru.

Walaupun dunia hari ini dikuasai oleh teknologi tapi Bill Gates tetap pertahankan peranan guru..

“Technology is just a tool. In terms of getting the kids to work together and motivating them, the teacher is the most important,”

Jadi para guru harus berbangga dengan profesionnya dan sentiasa membuat nilai tambah dari segi ilmu, kemahiran(soft and hard skill) serta keperibadiannya.

Justeru, kerana keagungan peribadilah Nabi Muhammad SAW telah dipilih sebagai insan yang paling berpengaruh di muka bumi oleh Dr Michael H. Hart(penulis buku dari Amerika, The 100:A Ranking Of The Most Influential Persons In History)

“Pilihan saya iaitu Muhammad untuk menghuni tangga pertama orang yang paling berpengaruh di dalam dunia kerana Baginda adalah satu-satunya manusia dalam sejarah yang berjaya dengan sempurna di dalam kedua-dua peringkat agama dan kehidupan dunia,”

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak,” (HR Baihaqi).

Dan apabila ditanya kepada Saidatina Aisyah r.a. tentang akhlak Rasulullah SAW, Ummul Mukminin menjawab:
Akhlaknya adalah al-Quran,”
(HR Ahmad)

Sehubungan itu,guru sebagai arkitek bangsa,mesti berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan, memberi ‘ruh’ atau makna kehidupan kepada generasi yang akan menjadi pewaris kepimpinan negara agar perpaduan, keharmonian dan kemakmuran negara tercapai.

Saya ingin menyeru semua guru(lelaki dan wanita dari pelbagai kaum) merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara dalam dunia pendidikan dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa perpaduan.

Mengambil contoh bagaimana seorang pakar Bahasa Melayu dari keturunan Cina Prof Datuk Dr Teo Kok Seong memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kerana berpendirian sebagai seorang warga Malaysia kita mesti berbangga dengan Bahasa Kebangasaan.

Terkin,i bagaimana sepasang suami isteri keturunan India Sugu Pavithra berjaya menambat hati rakyat Malaysia kerana kepetahan mereka berbahasa melayu di dalam video masakan sehingga mendapat pujian dan sokongan dengan berbentuk hadiah dari Perdana Menteri kita, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terima kasih cikgu atas semua ilmu, jasa dan pengorbanan.
“Sesungguhnya Allah dan seluruh malaikat-Nya serta penghuni langit dan bumi, memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia,
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Azizah Che Awang
Ketua Wanita ISMA Johor Bahru

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close