Dunia

Kanoute kumpul dana bina masjid di Seville

Pernah beli ruang solat tetapi hampir ditutup kerana tamat kontrak

MADRID, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Bekas bintang bola sepak Fred Oumar Kanoute mengumpulkan dana sumbangan daripada orang ramai secara dalam talian sebanyak AS$1 juta (RM4.3 juta) bagi membina masjid dan pusat kebudayaan pertama di Seville, Sepanyol.

Lebih senang disapa sebagai Kanoute, beliau merupakan muslim kelahiran Perancis yang pernah bermain untuk Sevilla FC dan memulakan kempen berkenaan sejak setahun lalu menerusi platform, LaunchGood – memfokuskan kepada komuniti Islam global.

“Terima kasih dan semoga Allah memberi ganjaran kepada anda semua yang menyumbang dalam kempen ini,” kata Kanoute di Twitternya, Selasa lalu.

Dalam pada itu, ahli pusat Pengajian Arab dan Islam di Universiti Seville mengesahkan bahawa tiada masjid yang khusus dibina di bandar berkenaan sejak hampir 800 tahun.

Kanoute 4 Seville Mosque akan mengumpulkan dana tambahan yang diperoleh menjelang 27 Mei. Anggaran kos projek berkenaan mencecah hampir AS$13.1 juta (RM56.9 juta).

Tahun lalu, Kanoute bekerjasama dengan Yayasan Masjid Seville (SMF).

Pada 2007, Kanoute pernah membeli satu ruang solat di Seville yang hampir ditutup setelah kontrak di premis berkenaan tamat.

Beliau menyifatkan ruang solat itu sebagai masjid sementara sebelum mengambil inisiatif merancang membina masjid khusus di kawasan berkenaan.

Katanya, projek bernilai AS$1 juta (RM4.3 juta) itu dijamin akan lebih besar daripada ruang solat sebelum ini dan bersifat kekal.

Komuniti muslim Seville adalah gabungan indah termasuk mualaf Sepanyol, generasi kedua umat Islam Sepanyol dan mereka yang berlatar belakang Algeria, Maghribi, Senegal dan Malian.

Sepanyol dianggarkan mempunyai dua juta umat Islam dengan sekitar 30,000 daripadanya tinggal di Seville. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button