Berita Utama

‘Jika sebelum ini tak dipeduli, kini GTA alternatif angkat suara rakyat’

Sudah ke istana, Pejabat PM namun isu disuarakan tak semakin baik

BANGI, 21 Rabiulawal 1444H, Selasa – Pengalaman terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan isu rakyat membuatkan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Pahang, Aminuddin Yahaya mengajak rakyat memberi sokongan kepada gerakan itu.

Bekas Pengerusi PEMBELA itu berkata, GTA memberi alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengangkat suara mereka.

Perkara tersebut bukan satu perkara yang baharu dan tidak mustahil untuk dilakukan itu kerana beliau sebelum ini lantang memperjuangkan isu rakyat.

“Saya sebenarnya sudah berjuang dalam NGO ini. Kalau ikutkan usia saya hampir tiga perempat saya berjuang.

“Apa yang saya tidak buat lagi? Pergi ke istana, Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Menteri, agensi-agensi kerajaan. Tapi apa yang kita suarakan bukan semakin baik malah semakin rosak dan dirosakkan,” katanya dalam sebuah video yang dimuatnaik di Facebook beliau.

Baru-baru ini, Gagasan Bangsa (GB) memutuskan untuk bekerjasama dengan keempat-empat parti komponen utama GTA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Penubuhan GTA yang diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos lalu dianggotai empat parti iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Bahkan, gerakan itu juga terbuka kepada NGO, orang perseorangan, ahli akademik serta golongan profesional dalam kalangan Melayu.

Pun begitu, memandangkan penubuhan GTA belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), semua komponen gerakan itu bersetuju menggunakan logo Pejuang bagi menghadapi PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button