Berita Utama

Kelantan hadkan 12 jemaah solat Jumaat bermula esok

Terdiri daripada imam, siak serta ahli jawatankuasa masjid

KOTA BHARU, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan membenarkan kesemua masjid di negeri ini untuk mengadakan solat Jumaat secara berperingkat bermula esok, dengan bilangan jemaah tidak lebih 12 orang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata mereka yang dibenarkan terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal, siak serta ahli jawatankuasa masjid.

“Pelaksanaan solat Jumaat itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti ujian saringan suhu, perlu mengenakan penutup hidung dan mulut, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata, penjarakan sosial sejauh satu meter antara jemaah ketika solat juga perlu dipatuhi dan memastikan khutbah dan solat Jumaat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan Jumaat.

Beliau turut mengingatkan pegawai dan jawatankuasa agar membawa sejadah dan mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid serta terus meninggalkan ruang solat setelah selesai menunaikan solat fardu Jumaat.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk melakukan solat fardu lima waktu dan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

“Orang ramai juga tidak digalakkan untuk menzirahi kubur sempena Aidilfitri akan datang dan pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama orang ramai dalam melaksanakan ketetapan ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button