Berita Utama

Kelantan saring perantau diberi kebenaran rentas negeri

30 kontak rapat pesakit wanita mengandung telah jalani saringan

KOTA BHARU, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Kelantan akan menyaring setiap perantau yang mendapat kebenaran rentas sempadan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk masuk ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, saringan itu akan dibuat di pintu-pintu masuk utama negeri ini termasuklah di laluan udara dan darat.

“Saringan itu akan dilakukan termasuklah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, di sempadan Pasir Puteh, Rantau Panjang di Pasir Mas dan Gua Musang.

“Petugas dari Jabatan Kesihatan Kelantan akan ditempatkan di setiap pintu masuk negeri dan akan dibantu oleh PDRM untuk membuat saringan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Peringkat negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Selain itu, kerajaan negeri akan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di kawasan premis tertutup seperti pasar basah dan pasar raya bagi mengelak jangkitan COVID-19.

“Langkah-langkah ini diambil dalam usaha kerajaan negeri memutuskan rantaian wabak COVID-19. Kalau kes kembali meningkat kita akan kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia akan menyukarkan kehidupan kita semua.

“Saya berharap agar rakyat Kelantan dapat mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan kerajaan bagi mengelak penularan wabak ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, 30 kontak rapat kepada pesakit wanita mengandung yang positif COVID-19 di Kuala Krai semalam, telah menjalani saringan sejak kes berkenaan dikesan.

Beliau berkata, 20 daripada kontak rapat terbabit yang juga sebahagian besar daripada ahli keluarga pesakit didapati negatif COVID-19 manakala baki 10 kontak rapat masih menunggu keputusan ujian.

“Pesakit pulang ke Kelantan pada 15 Mei lepas dan hanya menjalani ujian berkenaan pada 18 Mei. Kita belum pasti dari mana pesakit dijangkiti COVID-19 memandangkan beliau hanya seorang suri rumah.

“Bagaimanapun kita telah berhubung dengan Jabatan Kesihatan Selangor agar saringan COVID-19 dapat dilakukan ke atas suami pesakit berkenaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close