Berita Utama

Kenapa anak Melayu dukung LGBT? Malaysia tolak budaya songsang

Berani mereka buat seruan sesat di bulan mulia Ramadan

BANGI, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Malaysia mesti menolak sebarang usaha atau pengiktirafan kepada budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), tegas Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau kesal apabila ada dalam kalangan anak Melayu yang beraksi sebagai pendukung golongan LGBT dengan begitu vokal susulan merujuk artikel Bakhtiar Talhah di Malay Mail Online pada 17 Mei lalu.

Artikel bertajuk ‘Masa untuk Malaysia mengiktiraf komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)’ itu sarat mempromosi penerimaan gaya hidup LGBT serta perkahwinan sejenis yang mana bukan lagi menyentuh mengenai topik diskriminasi.

“Beliau sanggup memperjuangkan pengiktirafannya di Malaysia, apatah lagi kerana berani membuat seruan yang sesat di bulan Ramadan yang diberkati ini.

“Semoga dianugerahi petunjuk Allah hendaknya. Saya menyeru agar mereka bertaubat dan kembali ke jalan yang benar lagi bersesuaian dengan fitrah manusia yang normal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menggesa kerajaan memperketatkan undang-undang berhubung larangan promosi umum gaya hidup LGBT.

Dr Rafidah berkata, ia boleh dilakukan sama ada melalui Kanun Keseksaan, Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 atau lain-lain akta berkaitan.

Bagi masyarakat Islam, pindaan ke atas Enakmen Syariah Negeri-Negeri sedia ada berhubung kesalahan homoseksualiti dan tasyabbuh (lelaki yang berlagak seperti perempuan) perlu turut memasukkan larangan promosi gaya hidup ini.

“Kami di MACSA juga dengan tegas menyeru kepada generasi muda muslim, Kristian dan penganut-penganut agama lain agar tidak terjebak ke arah gaya pengamalan LGBT dan memilih sebaliknya, cara hidup bermoral yang dianjurkan oleh agama,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close