Berita Utama

Kenyataan tular konon dari Dr Noor Hisham palsu: KKM

Orang ramai diingatkan patuhi saranan elak berada di kawasan sesak

BANGI, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kenyataan tular di media sosial kononnya menarik balik kebenaran berziarah pada Hari Raya Aidilfitri susulan kegagalan masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KKM dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa kenyataan tular berkenaan bukanlah daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan meminta orang ramai supaya tidak lagi menyebarkan kenyataan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.

Kenyataan berkenaan mendakwa bahawa KKM telah bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menarik balik kebenaran menziarah sempena Aidilfitri kononnya kerana mengambil kira risiko jangkitan terhadap warga emas serta pesakit kronik.

Bahkan kenyataan itu mendakwa bahawa kebenaran menyambut Aidilfitri pada raya pertama juga ditarik balik kerana rakyat ingkat mematuhi PKPB dengan ‘curi-curi’ rentas negeri.

Pada masa sama, KKM turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi saranan yang ditetapkan seperti mengelak berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang dengan jarak yang dekat.

KKM turut meminta supaya mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), menggalakkan pemakaian penutup hidung dan mulut di tempat awam (wear) serta mematuhi amaran KKM yang berkonsepkan peringatan (warn).

“Elak bersalaman atau bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, lakukan disinfeksi, duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja serta dapatkan rawatan segera jika bergejala,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button