Berita Utama

Lelaki rentas negeri guna alasan ziarah bapa diabetes dikompaun RM1,000

Gagal tunjuk sebarang dokumen, surat sokongan bertulis pihak berkuasa

ALOR SETAR, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Tindakan seorang lelaki yang melanggar larangan rentas negeri atas alasan mahu menziarahi bapanya yang menghidap penyakit kencing manis di kampung, mengundang padah apabila dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar berkata, pada 10.30 malam semalam, anggota yang menjalankan tugas Ops COVID-19 telah diarahkan ke sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut dekat Yan, kerana disyaki berlaku aktiviti rentas sempadan negeri tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Hasil siasatan mendapati lelaki yang berumur 37 tahun itu telah pulang ke kampung, kononnya untuk melawat bapanya yang menghidap penyakit kencing manis, sejak empat hari lepas dari alamat semasa tempat dia bekerja iaitu di Melaka.

“Lelaki berkenaan juga gagal untuk menunjukkan sebarang dokumen atau surat sokongan bertulis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta alasan munasabah untuk merentas sempadan negeri,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Shahnaz berkata, lelaki berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan untuk tindakan lanjut dan mengakui bahawa dia tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bertulis untuk melakukan rentas sempadan negeri.

“Lelaki berkenaan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan perlu dibayar dalam tempoh dua minggu. Kes disiasat mengikut Peraturan 6(3) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close