Berita Utama

Puak merapu! Saman kerajaan waktu rakyat sibuk lawan COVID-19

Individu lawan perintah Agong patut dilucutkan kerakyatan

BANGI, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Dalam keadaan rakyat sibuk memerangi penularan wabak COVID-19, ditambah dengan bencana banjir yang belum surut, masih wujud puak  ‘merapu’ demi kepentingan peribadi. 

 Demikian kekesalan yang diluahkan Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman terhadap tindakan bekas penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan apabila memfailkan saman pemula terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia. 

“Puak merapu masa orang ramai tengah sibuk dengan COVID-19 dan susah cari makan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook, hari ini. 

Saman yang difailkan Khairuddin itu bagi mencabar tindakan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan COVID-19. 

Khairuddin selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, menerusi Tentuan Law Practice of Rafique dengan menamakan Muhyiddin serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua. 

Menerusi saman pemula itu, Khairuddin antara lain memohon mahkamah memutuskan empat persoalan undang-undang dan keperlembagaan bahawa pengisytiharan Proklamasi Darurat tersebut adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. 

Tindakan Khairuddin itu turut dikecam kebanyakan pengguna media sosial yang rata-ratanya ‘meluat’ dengan sikap kebanyakan ahli politik di negara ini. 

“Kalau rakyat saman dia boleh tak? Sebab kalut nak batal darurat yang Agong dah setuju,” tulis Fauzan Wairon. 

“Mana individu yang menentang perintah Yang di-Pertuan Agong boleh dianggap derhaka pada negara. Andainya didapati bersalah kerakyatan dilucutkan,” kata Daud Saad Saad. 

“Muak politik, dengan COVID-19 lagi. Tak boleh ke ahli politik berbaik-baik buat sementara,” kata Aiman Nasuha. 

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19. 

Muhyiddin, pada hari sama, menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Jan hingga 1 Ogos 2021. 

Antara lain, Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button