Berita Utama

Mana kesetiaan Xavier kepada institusi diraja?

Kenyataan beliau berunsur hasutan, wajar dikenakan tindakan tegas

BANGI, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka menggesa Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar meletakkan jawatan dan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan, susulan mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap sidang Parlimen.

Ketua Perhubungannya, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim menyifatkan, Naib Presiden PKR itu gagal menjadi Ahli Parlimen dan warganegara yang baik kerana jelas menghina titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Apakah beliau menyifatkan titah ucapan tuanku sebagai ‘sampah dan tidak berguna’ kerana itu sahaja agenda pada sidang Parlimen pada hari tersebut?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, menerusi satu video berdurasi hampir tiga minit, Xavier menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna.

Xavier dilaporkan berkata, Ahli Parlimen cuma berada sejam sahaja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan COVID-19.

Sidang itu dijadual selama sehari, namun dipendekkan untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Mohd Khoushaini turut mendesak Xavier supaya membuat permohonan maaf selain menarik semula kenyataan kontroversinya.

Beliau berkata, perbuatan provokasi itu bukan sahaja tidak menghormati institusi raja dan Perlembagaan Persekutuan, malah mencetuskan kemarahan dan menggugat keharmonian masyarakat.

“Mengatakan titah Agong dalam sidang Parlimen sebagai sampah dan tidak berguna jelas menunjukkan bahawa beliau tiada kesetiaan kepada raja.

“Pihak kami bimbang jika tiada sebarang tindakan diambil, maka ketegangan dalam negara boleh terjadi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan sewajarnya selain mengenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada ke atas Ahli Parlimen itu.

Beliau menegaskan Xavier tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berunsur liar yang menggugat keharmonian rakyat Malaysia.

“Oleh itu, seluruh rakyat diseru bersama-sama membuat laporan polis dan tidak lagi mengundi Xavier dalam pilihan raya akan datang.

“Xavier perlu meletak jawatan dan didakwa kerana menghasut,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close