Berita Utama

Mohon polis ambil tindakan tegas, tuduhan Xavier gugat keharmonian

ISMA, PEMBELA, BERJASA Melaka buat laporan polis terhadap MP Kuala Langat

BANGI, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Kenyataan biadab pemimpin PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar berhubung persidangan Parlimen pada Isnin lalu jelas telah menghina institusi raja.

Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan liar yang mampu menggugat keharmonian rakyat di negara ini.

Atas dasar itu, katanya, satu laporan polis dibuat oleh ISMA negeri bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Melaka susulan kenyataan Xavier dalam satu video yang tular, baru-baru ini.

“Kita harap pihak PDRM dapat membuat siasatan yang sewajarnya dan tindakan tegas dibuat ke atas Xavier mengikut peruntukan undang-undang yang ada demi perpaduan dan keamanan yang kita kecapi selama ini.

“Seluruh rakyat diseru bersama-sama membuat laporan polis dan tidak lagi mengundi Xavier dalam pilihan raya akan datang. Xavier perlu meletak jawatan dan didakwa kerana menghasut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna menerusi satu video berdurasi selama hampir tiga minit.

Katanya, Ahli Parlimen cuma berada sejam saja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan COVID-19.

Sidang Parlimen diadakan pada 18 Mei lalu, dengan hanya Titah Diraja saja sebagai urusan mesyuarat manakala sesi perbahasan akan diadakan pada satu tarikh ditentukan kemudian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button