Berita UtamaDunia

Pelarian Syria jual organ demi kelangsungan hidup

Ditawarkan RM43,526 hanya untuk dapatkan sebelah ginjal

ANKARA, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Desakan bagi mendapatkan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup memaksa pelarian Syria di Turki melakukan apa sahaja, termasuk menjual organ mereka di pasar gelap.

Perkara berkenaan yang didedahkan oleh media Amerika Syarikat (AS), CBS dalam satu dokumentari yang mendakwa kewujudan laman Facebook menawarkan ganjaran wang kepada pelarian Syria – sebagai ganti bagi organ hati dan ginjal.

Menerusi rakaman kamera tersembunyi, CBS turut melaporkan ramai di antara pelarian telah diperdaya, apabila memperoleh ganjaran lebih sedikit berbanding nilai sebenar organ yang sepatutnya dijual.

Seorang mangsa yang juga pelarian, Abu Abdullah berkata, beliau telah melarikan diri dari perang saudara di Syria sejak empat tahun lalu dan kini memperoleh pendapatan sebanyak AS$300 (RM1,305) sebulan sebagai pekerja logam.

Beliau yang terdesak untuk mendapatkan wang telah menjual salah satu ginjalnya berharga AS$10,000 (RM43,526).

Bagaimanapun, setelah mengikuti prosedur yang diperlukan, pembeli hanya membayar setengah daripada jumlah yang dipersetujui sebelum menghilangkan diri.

Abu kemudian dibiarkan tanpa rawatan perubatan dan kesakitan yang berterusan.

Turki, seperti kebanyakan negara lain mengharamkan aktiviti jual beli organ di pasaran gelap.

Kebiasaannya, penderma organ perlu membuktikan bahawa mereka adalah ahli keluarga daripada penerima bagi memudahkan pihak hospital mendapatkan penderma.

Namun, dokumen palsu boleh dibeli dengan harga AS$200 (RM870).

Meskipun perdagangan organ berkenaan tidak sah, namun kesulitan para pelarian meneruskan kelangsungan hidup telah memaksa mereka setelah melarikan diri daripada konflik tanah air yang berterusan. – Agensi

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close