Berita UtamaPendapat

Rakyat mesti tolak PH

Jangan beri mereka satu kerusi sekalipun pada PRU, PRK akan datang

1. SUDAH sampai masanya rakyat untuk tolak dan pinggirkan Pakatan Harapan (PH).

Gabungan beberapa parti yang diberi peluang untuk memerintah selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah menyebabkan negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak stabil.

2. Pertama, kemampuan mentadbir sesebuah negara hampir tidak ada pada PH.

Walaupun dipimpin oleh seorang mantan Perdana Menteri, terbukti sebahagian menteri-menteri yang dilantik adalah tidak kompeten.

Dengan berlatarbelakangkan kerjaya hanya sebagai ahli politik, dan tidak ada atau terlalu sedikit pengalaman mentadbir atau bekerja, ramai diantara mereka gagal berfungsi.

3. Malah setengah-setengah ahli politik PH, membuat musuh dengan penjawat awam dan kemudian membuat tuduhan penjawat awam mensabotaj mereka (“deep state”).

Bukan itu sahaja, ada ahli politik PH ini membuat cadangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam.

Bayangkan kalau diikut saranan mereka itu, negara tidak akan dapat berdepan dengan wabak COVID-19 dengan efisien dan efektif sekarang ini, disebabkan kekurangan tenaga kerja terutama dalam bidang kesihatan.

4. Ada juga tuduhan dari penyokong PH yang mempertikaikan peranan tentera negara, menuduh tentera makan dan tidur saja, tidak buat kerja.

Sekarang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tentera merupakan sebahagian dari ‘frontliners’ yang bertungkus-lumus berkorban untuk negara.

Di mana sikap patriotik penyokong tegar PH ini dan pandangan mereka sekarang ini?

5. Kedua, kestabilan negara berada dalam keadaan bahaya disebabkan politik perkauman yang dimainkan oleh setengah-setengah ahli politik PH.

Mereka menuduh pihak lain memain sentimen perkauman tetapi merekalah yang begitu agresif memainkan sentimen perkauman dan agama.

6. Keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana di dalam perlembagaan, sering dijadikan bahan cabaran dan perdebatan.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, orang Melayu dan Islam serta kedudukan raja-raja dikritik dan dipersoalkan begitu hebat atas nama hak asasi manusia dan kesamarataan.

Sejarah negara dibakul sampahkan dan ini menghiris hati dan perasaan pejuang kemerdekaan, pejuang Islam, pejuamg menentang komunis, pejuang bangsa, pejuang bahasa dan lain-lain.

7. Ketiga, kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang asyik menyalahkan orang lain terutama terutama kerajaan terdahulu dalam banyak hal.

Ketidakupayaan PH menguruskan kewangan negara amat ketara sekali dengan hutang yang menimbun dan penjualan aset negara yang banyak.

Tetapi, masih lagi menyalahkan kerajaan terdahulu yang kononnya menyebabkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang teruk.

8. Sindrom merasakan diri mereka saja yang ‘suci’ dan ‘bersih’ adalah sikap yang selalu cuba diperlihatkan dan perasaan ‘lebih baik’ dari orang lain termasuk rakyat, akhirnya memakan diri sendiri.

Rakyat tidak percaya dengan golongan PH ini yang hanya pandai berkata-kata, tetapi tidak dalam perbuatan dan memutar-belitkan fakta.

Sebab itu mereka kalah lima kali berturut-turut dalam pilihanraya kecil bukan sahaja di semenanjung, malah di Sabah juga.

9. Keempat, gabungan PH inilah yang bukan sahaja tidak dapat memenuhi janji sebagaimana dalam manifesto mereka, malah memungkiri janji dan prinsip mereka.

Rakyat digula-gulakan semasa PRU14 dengan janji bulan dan bintang dalam manifesto. Tapi akhirnya, rakyat yang menderita dan tidak terbela.

10. Kelima, terbukti dalam muktahir ini berkaitan sidang parlimen dan pemilihan PM ke 8, mereka tidak menghormati SPDB Yang diPertuan Agong dan sistem demokrasi negara ini.

Kebiadapan mereka terhadap institusi Raja ini tidak boleh dimaafkan.

11. Akhir sekali pertelingkahan selama lebih 20 tahun antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merebut kuasa, menyebabkan PH berada dalam keadaan rapuh dan akhirnya memakan diri sendiri bila kerajaannya jatuh.

Kemelut pergaduhan dan permusuhan inilah yang menjadi punca sebenar kejatuhan kerajaan dan juga punca penderitaan rakyat selama 22 bulan di bawah pemerintahan PH bila pemimpin utama ini mengutamakan agenda peribadi dan kuasa.

12. Cukuplah rakyat memberi undi, dalam PRU 14 dan yang lepas-lepas, kepada gabungan PH ini yang tidak kompeten, bermain sentimen perkauman, asyik menyalahkan orang lain, mungkir janji dan gila kuasa.

Jangan bagi mereka peluang menang satu kerusi pun sama ada dalam PRK atau PRU yang akan datang, kerana terbukti dalam masa 22 bulan semasa mereka memerintah, mereka bukanlah sebuah kerajaan yang berintegriti dan bewibawa, malah adalah sebuah kerajaan yang menyusahkan rakyat dalam banyak hal.

Presiden BERJASA
Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close