Berita Utama

Sekatan di semua laluan keluar Lembah Klang punca kesesakan

Bukti ketegasan PDRM kekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran

HULU SELANGOR, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dijalankan pihak polis Selangor yang membabitkan lebuh raya, jalan negeri dan jalan perbandaran menuju ke negeri lain terutamanya membabitkan laluan di kawasan sempadan negeri telah menyebabkan kesesakan.

Susulan itu, ribuan pengguna lebuh raya dan jalan raya berdepan kesesakan teruk di semua laluan keluar negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tindakan yang dijalankan pihak polis menunjukkan ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang sebarang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran.

“Antara faktor kesesakan teruk adalah disebabkan pemeriksaan polis di setiap SJR mengambil sedikit masa bagi melakukan pemeriksaan secara lebih lanjut, bagi memastikan kebenaran yang diperoleh adalah sah.

“Sehingga jam 3 petang tadi ribuan kenderaan dikesan keluar dari Lembah Klang melalui Selangor menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur, untuk bergerak ke negeri lain.

“Bagaimanapun sebahagian besar daripada mereka didapati memiliki surat kebenaran untuk bergerak rentas negeri,” katanya seperti di laporkan Berita Harian.

Selain itu, Arjunaidi turut memberitahu bahawa terdapat penurunan jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik berbanding sebelum selepas membuat pemantauan di semua lokasi SJR di Selangor.

Di mana berdasarkan rekod semalam, sebanyak 21,993 kenderaan dikesan cuba melakukan perjalanan rentas negeri keluar dari Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati nisbah satu daripada setiap lima kenderaan yang diperiksa diarahkan untuk berpatah balik.

“Faktor ini berkemungkinan adalah disebabkan orang ramai melihat tindakan polis mengarahkan mereka yang tidak memiliki surat kebenaran rentas negeri berpatah balik sebaik tiba di lokasi yang ada pemeriksaan SJR.

“Sebagai contoh daripada jam 9 pagi sehingga jam 3 petang hari ini sebanyak lebih 50 kenderaan diarah berpatah balik ketika melalui SJR di lebuhraya ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button