Berita Utama

Tolak PH: Cukuplah rakyat menderita selama 22 bulan

Kedudukan institusi raja dipersoalkan atas nama hak asasi manusia

BANGI, 28 Ramadan 1441H, Khamis – Sudah tiba masanya untuk rakyat menolak dan meminggirkan gabungan parti rasis Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Prof Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz.

Beliau membangkitkan perkara itu setelah keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuaan sering dijadikan bahan cabaran atau perdebatan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah, orang Melayu dan Islam serta kedudukan raja-raja dikritik dan dipersoalkan begitu hebat atas nama hak asasi manusia dan kesamarataan.

“Malah, sejarah negara dibakul sampahkan dan ini menghiris hati dan perasaan pejuang kemerdekaan, pejuang Islam, pejuang menentang komunis, pejuang bangsa, pejuang bahasa dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Prof Badrulhisham mendakwa, PH ketika zaman pemerintahannya bukan sahaja tidak dapat memenuhi janji dalam manifesto, malah turut memungkiri dan mengingkari janji mereka.

“Rakyat digula-gulakan semasa PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dengan janji bulan dan bintang dalam manifesto. Tapi akhirnya rakyat yang menderita dan tidak terbela,” katanya.

Selain itu, Prof Badrulhisham turut menyifatkan PH adalah sebuah gabungan parti yang meletakkan kesalahan ke atas orang lain dalam pelbagai perkara, terutamanya kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, ketidakupayaan PH dalam menguruskan kewangan negara amat ketara apabila hutang semakin meningkat ditambah dengan penjualan pelbagai aset negara.

“Tetapi, masih lagi menyalahkan kerajaan terdahulu yang kononnya menyebabkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang teruk,” dakwanya lagi.

Beliau turut mendakwa, PH tiada kemampuan mentadbir sesebuah negara.

Katanya, meskipun dipimpin oleh seorang bekas Perdana Menteri, namun sebahagian menteri-menteri yang dilantik adalah tidak kompeten.

Dengan hanya berlatarbelakangkan kerjaya sebagai ahli politik dan kekurangan pengalaman mentadbir atau bekerja, ramai di kalangan menteri yang dilantik gagal berfungsi, dakwanya.

“Malah sesetengah ahli politik PH membuat musuh dengan penjawat awam, kemudian membuat tuduhan penjawat awam mensabotaj mereka.

“Bukan itu sahaja, ada ahli politik PH membuat cadangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam.

“Bayangkan kalau diikut saranan mereka itu, negara tidak akan dapat berdepan dengan wabak COVID-19 dengan efisien dan efektif sekarang ini, disebabkan kekurangan tenaga kerja terutama dalam bidang kesihatan,” katanya.

Lantaran itu, Prof Badrulhisham menggesa rakyat untuk tidak lagi memberi peluang kepada PH untuk menang dalam pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Katanya, dalam masa 22 bulan pemerintahan PH, pemimpinnya bukanlah dari kalangan yang berintegriti dan berwibawa tetapi hanya menyusahkan rakyat dalam pelbagai perkara.

“Cukuplah rakyat memberi undi, dalam PRU-14 dan yang lepas-lepas, kepada gabungan PH ini yang tidak kompeten, bermain sentimen perkauman, asyik menyalahkan orang lain, mungkir janji dan gila kuasa,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close