Berita Utama

Polis nafi ambulans dirempuh pemandu mabuk di Putrajaya

Orang ramai diminta tak buat andaian, lapor jika ada tempat kejadian

KUALA LUMPUR, 13 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Polis menafikan dakwaan sebuah klip video tular yang mengaitkan insiden sebuah ambulans yang terbalik di Putrajaya malam semalam akibat dilanggar seorang pemandu mabuk.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz dalam satu kenyataan malam tadi meminta orang ramai agar tidak membuat andaian tentang kejadian itu dan jika mereka berada di tempat kejadian diharap melaporkan kepada pihak polis.

“Netizen pandai-pandai membuat ulasan sendiri kerana siasatan pegawai penyiasat di lokasi kejadian mendapati pemandu berkenaan tidak di bawah pengaruh alkohol dan saringan air kencing lelaki itu didapati negatif.

“Laluan untuk pemandu kereta itu berjalan seiring dengan kenderaan lain di lorong kanan dan kiri serta kereta itu tidak dengar atau melihat siren ambulans kerana keretanya terhalang dengan kenderaan sebelah yang berjalan seiring,” katanya.

Asmadi berkata, kejadian itu berlaku pada 11.45 malam di persimpangan lampu isyarat Lebuh Bestari berdekatan Menara Usahawan ketika sebuah ambulans membawa seorang pesakit terbalik selepas dilanggar sebuah kereta dipandu warga asing.

Beliau berkata, siasatan mendapati ambulans dinaiki tiga kakitangan Hospital Putrajaya itu dalam perjalanan ke hospital selepas mengambil seorang pesakit di Presint 18.

Katanya ketika tiba di lokasi kejadian, ambulans berkenaan sedang melalui persimpangan lampu isyarat itu dengan membunyikan hon dan siren sebelum tiba-tiba dilanggar kereta dari arah bertentangan.

“Siasatan mendapati pemandu kereta itu panik dan tidak sempat brek sebelum melanggar ambulans tersebut ketika melalui persimpangan lampu isyarat itu di mana ketika itu lampu bertukar hijau,” katanya.

Beliau berkata kereta berkenaan dari arah Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra manakala ambulans itu dari arah Presint 18 menuju ke Hospital Putrajaya.

“Akibat rempuhan itu, ambulans berkenaan terbalik dan tiga mangsa termasuk dua penumpang ambulans dan seorang pesakit mengalami kecederaan manakala pemandu kereta dan penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Asmadi berkata ketika kejadian permukaan jalan rata dan tidak licin dan kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, polis turut memohon rakaman sistem litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button