Berita Utama

Apakah rakyat tak faham bahasa Melayu miliki MyKad palsu?

Adakah bahasanya sukar difahami ataupun mereka memandang rendah

BANGI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Kegagalan rakyat Malaysia memahami bahasa kebangsaan hingga memerlukan khidmat jurubahasa ketika dihadapkan ke mahkamah menarik perhatian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.

“Saya perasan beberapa kes individu yang dihadapkan ke mahkamah memerlukan khidmat jurubahasa. Rakyat Malaysia tidak faham Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu)?

“Apakah bahasa Malaysia bahasa yang sukar difahami ataupun mereka enggan belajar kerana memandang rendah pada bahasa kebangsaan atau kad pengenalan palsu? Atau sebab lain? ” soalnya menerusi akaun Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kes lelaki warga emas yang menghadapi dua tuduhan mencederakan serta dengan niat mengganggu kesantunan seorang wanita, Isnin lalu.

Tertuduh, Hii King, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Shazleena Shazmi, 24, dengan menendang wanita yang bekerja sebagai penghantar makanan itu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat mengganggu kesantunan Shazleena dengan menunjukkan isyarat lucah jari tengah.

King yang juga pesara didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Puteri 9/1, Bandar Puteri, Puchong, kira-kira jam 4.10 petang, pada Isnin lalu.

Bahkan isu sama berlaku apabila sebelum ini tiga remaja termasuk dua individu bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping berhubung kegagalan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pencegahan wabak COVID-19.

Lim Chun Hoe, 19, didakwa bersama seorang dari remaja bawah umur berusia 16 tahun mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Manakala seorang lagi remaja bawah umur berusia 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas sewaktu penguatkuasaan PKP dilaksanakan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh yang ketika itu menaiki sebuah kereta yang dipandu remaja berusia 15 tahun berkenaan didakwa tidak mematuhi arahan penguatkuasaan PKP dengan bergerak dari Taman Sungai Mas, di sini, menuju Jalan Air Kuning pada jam 3.00 pagi Ahad, 22 Mac lalu.

Chun Hoe bagaimanapun tidak begitu memahami pertuduhan dalam bahasa Melayu yang dibacakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faakihin Ahmad Fauzi di hadapan majistret Adibah Abdul Kadir.

Majistret kemudiannya menetapkan tarikh 4 Mei untuk sebutan semula kes terhadap Chun Hoe dengan kehadiran jurubahasa Cina berdialek Hokkien.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button