Berita Utama

Bagai tiada nilai titah Agong di mata Xavier

Rakyat perlu cam wajah ini, elak undi individu perangai serupa dalam PRU

SEBERANG PERAI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU), hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataan dalam satu video yang tular di media sosial berhubung persidangan Parlimen, 18 Mei lalu.

Ketua Biro Dakwah, Mohd Izwan Ishak yang juga mewakili ISMA Syukbah Bertam bersama-sama aktivis berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada Xavier kerana menghina persidangan Parlimen yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.

“Kita semua tahu sidang pada hari itu hanya ada satu slot sahaja iaitu titah diraja. Kalau kita meneliti, antara yang disentuh baginda adalah berkenaan kesatuan dan perpaduan rakyat Malaysia untuk mengurangi COVID-19, isu parti, polarisasi kaum, isu Laut China Selatan dan banyak lagi. 

“Semua isu ini kita kena ambil pengajaran dan ambil langkah untuk memajukan negara. Tetapi Xavier pula telah keluarkan kenyataan, seolah-olah apa yang diucapkan oleh Agong tiada nilai, tiada manfaat. 

“Jelas YB ini keluarkan kenyataan berbentuk penghinaan dan juga provokasi yang mengajak rakyat membenci YDPA. Kita melihat perkara ini tidak boleh dikompromi,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU). 

Justeru, beliau menggesa pihak polis, Peguam Negara dan pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan tegas terhadap bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu. 

“Mungkin beliau merasakan ia dibuat untuk mendapatkan populariti, tetapi hakikatnya, tindakan beliau itu hanya membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat kepada beliau sendiri. 

“Saya ajak semua rakyat agar cam betul-betul wajah ini. Kita tengok apa yang diperkatakan, kita pastikan PRU akan datang individu seperti ini tidak mendapat tempat dalam kepimpinan di masa depan,” katanya lagi.

Sebelum ini, menerusi satu video berdurasi selama hampir tiga minit, Xavier menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna.

Xavier dilaporkan berkata, Ahli Parlimen cuma berada sejam saja di Dewan Rakyat hanya untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan COVID-19.

Sidang itu dijadual selama sehari, namun dipendekkan untuk mendengar Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button