Berita UtamaDunia

Bimbang wujud wabak baharu, Wuhan larang makan haiwan liar

Dasar berkuat kuasa 5 tahun, jadi tempat lindungi hidupan liar

BEIJING, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Pihak berkuasa di Wuhan – pusat wabak berlakunya coronavirus – secara rasmi melarang memakan semua haiwan liar.

Pentadbiran tempatan di bandar China pada Rabu lalu menyatakan, bersama dengan larangan itu, Wuhan akan menjadi ‘tempat perlindungan hidupan liar’ yang mana hampir semua aktiviti pemburuan dilarang kecuali untuk ‘penyelidikan ilmiah, peraturan populasi, pemantauan wabak penyakit dan keadaan khas lain’.

Sebagai sebahagian daripada larangan berkenaan, bandar itu memperkenalkan kawalan ketat terhadap pembiakan semua haiwan liar, melarang ia dipelihara untuk makanan, lapor CBS.

Wuhan juga akan menyertai skema yang lebih luas di seluruh negara untuk menawarkan pembelian kepada petani yang membiakkan haiwan liar.

Pakar dasar China dari badan kebajikan haiwan Humane Society International, Dr Peter Li berkata, larangan Wuhan terhadap penggunaan hidupan liar sangat dialu-alukan sebagai pengakuan yang jelas bahawa risiko kesihatan rakyat terhadap penyakit zoonosis yang tersebar melalui perdagangan hidupan liar mesti diberi perhatian serius sekiranya ingin mengelakkan wabak lain.

Pada masa ini, larangan Wuhan berkuat kuasa selama lima tahun malah larangan serupa dilaksanakan di kota Beijing, Shenzhen dan Zhuhai, bagaimanapun ia dibuat tetap.

Wuhan, sebuah bandar yang berjumlah 11 juta orang di wilayah Hubei, China, menyaksikan kes pertama COVID-19 akhir tahun lalu.

Asal usul pandemik ini masih disiasat namun salah satu sumber yang disyaki adalah pasar borong makanan laut Huanan di bandar ini yang merangkumi bahagian haiwan hidup yang dilaporkan menjual lebih dari 30 spesies haiwan termasuk anak serigala hidup, cengkerik emas, kala jengking dan musang.

Secara keseluruhan, penyelidik bersetuju bahawa penjelasan yang paling masuk akal adalah bahawa virus itu dari haiwan dipindahkan ke manusia dalam kejadian ‘limpahan zoonotik’.

China mendapat tekanan dari masyarakat seluruh dunia untuk menangani perdagangan hidupan liar secara haram setelah dikaitkan dengan munculnya penyakit zoonosis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, angka kematian di seluruh dunia akibat COVID-19 adalah 318,789 orang sementara yang dijangkiti wabak itu adalah 4.7 juta orang. – Agensi

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close