Dunia

COVID-19: Pakaian HAZMAT uniform baharu kru Qatar Airways

Penumpang diwajibkan pakai penutup hidung, mulut elak wabak

DOHA, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Pakaian perlindungan HAZMAT kini menjadi uniform bagi kru dan anak kapal syarikat penerbangan, Qatar Airways susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Syarikat berkenaan turut mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bersesuaian dengan keadaan semasa wabak, termasuk mewajibkan penumpang memakai penutup hidung dan mulut.

Ketetapan dan perubahan perkhidmatan yang diubah suai itu antara sebahagian daripada langkah yang diambil Qatar Airways bermula 25 Mei ini susulan mengekang penularan wabak.

Sebagai contoh, penumpang kelas perniagaan akan dihidang makanan mereka di atas dulang tanpa meja disediakan, selain makanan dihidang secara bungkusan untuk mengurangkan kontak antara anak kapal dan penumpang.

Syarikat penerbangan itu berkata, penumpang kelas perniagaan Qsuite boleh menjaga privasi mereka dengan menutup pintu privasi jika mahu menghadkan interaksi dengan anak kapal.

Bagi perkhidmatan penerbangan ekonomi, Qatar Airways berkata semua makanan akan disajikan seperti biasa.

Katanya, semua perkakas makanan dan peralatan makan dibasuh dengan bahan pencuci dan dinyah pada suhu yang membunuh bakteria patogen.

Syarikat penerbangan itu juga menyarankan penumpang untuk mengikuti amalan kebersihan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seperti mencuci tangan dan tidak menyentuh wajah.

Bahkan, katanya, anak kapal juga telah menerima latihan untuk meminimumkan risiko mereka daripada dijangkiti atau menyebarkan jangkitan. – Agensi

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close