Berita Utama

DAP salahkan Tun M jatuhkan PH

Tak timbul masalah jika serah kuasa kepada Anwar seperti janji

BANGI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu, hari ini menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyebabkan Pakatan Harapan (PH) terlepas kuasa kerajaan Persekutuan pada bulan Februari lalu.

Ronnie yang lantang mengkritik Dr Mahathir berkata, sepatutnya tidak timbul masalah demikian jika bekas Perdana Menteri itu menyerahkan kuasanya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang telah dijanjikan.

Demikian juga, beliau mengatakan bahawa tidak akan ada masalah jika Dr Mahathi r tidak mengundurkan diri dan mengambil nasihat Yang di-Pertuan Agong, dan juga jika negarawan itu tidak mencadangkan agar kerajaan perpaduan ditubuhkan.

“Pada akhirnya, pemerintah PH jatuh kerana rampasan kuasa oleh pihak-pihak dalam parti Tun M,” katanya, merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam catatan di laman Facebook, Ronnie secara spesifik merujuk pihak yang dinyatakan tersebut sebagai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tun M adalah alasan kejatuhan PH, dan dia belum mengakui kesalahannya dan meminta maaf kepada rakyat,” katanya seperti dilapor FMT.

Terdahulu, Bersatu menarik diri daripada PH setelah Dr Mahathir mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada bulan Februari, hingga mencetuskan krisis yang menyaksikan YDPA melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk mengetuai kerajaan yang terdiri daripada UMNO dan PAS.

Kenyataan Ronnie dibuat susulan peredaran rakaman audio mesyuarat terakhir PH pada bulan Februari di mana menteri dan pemimpin parti secara terbuka bertengkar mengenai persoalan berkenaan tempoh Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Rakaman dua jam mesyuarat dewan presiden pada 21 Februari mendedahkan dua puak, satu berkeras menuntut Mahathir mengundurkan diri untuk Anwar dan yang lain mengatakan bahawa perbincangan mengenai peralihan kuasa telah menjejaskan kredibiliti gabungan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button