Berita Utama

Disiplin diri ketika sambut Aidilfitri

Perayaan disambut dengan normal baharu berikutan COVID-19

KUALA LUMPUR, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyeru masyarakat supaya mengamalkan ziarah terdidik dengan mendisiplinkan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan semasa sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata perayaan tahun ini yang disambut dengan normal baharu berikutan penularan wabak COVID-19 tetap tidak akan menjejaskan kemeriahan Aidilfitri.

“Janganlah dek kerana keghairahan dan kecuaian, kita menjadi asbab wujudnya kluster baharu yang membawa kepada peningkatan kes positif COVID-19,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2020 di laman web rasmi Facebook beliau hari ini.

Abdul Hamid berkata kemeriahan perayaan itu tidak akan terjejas walaupun disambut bersama jiran terdekat dan ahli keluarga yang tinggal di negeri yang sama serta tidak melibatkan lebih 20 orang pada satu masa.

Beliau berkata masyarakat masih mempunyai pilihan untuk meraikan Syawal selari dengan normal baharu walaupun tidak semeriah sambutan sebelum ini dengan amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka.

Abdul Hamid berkata kepada mereka yang berada di perantauan, suasana hiba dan kerinduan menyambut pagi Syawal bersama ibu dan bapa di kampung halaman pastinya akan menyelubungi sanubari kerana perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan semasa tempoh ini.

“Namun anggaplah ini sebagai pengorbanan besar seorang anak kepada ibu bapa tercinta bagi memastikan mereka terhindar daripada risiko dijangkiti wabak ini,” katanya.

Buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, beliau turut menyampaikan penghargaannya kepada benteng pertahanan hadapan negara itu.

“Andalah wira di hati masyarakat dan negara. Yakinlah, bahawa setiap kudrat yang dikerah, lelah yang dihela, keringat yang mengalir dan titisan air mata yang jatuh dalam perjuangan ini, akan sentiasa diiringi dengan doa serta harapan daripada seluruh ahli keluarga dan masyarakat.

“Sesungguhnya, perjuangan kita masih belum selesai dan kita harus menang dalam memerangi ‘musuh senyap yang tidak kelihatan’ ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close