Berita Utama

Hina raja: Peruntukan sudah ada, ambil tindakan

Akta Hasutan miliki peruntukan bagi sesiapa hina institusi diraja

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap institusi diraja.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berpandangan, pihak yang menimbulkan rasa kebencian terhadap raja-raja Melayu seharusnya dikenakan tindakan.

“Penghinaan kepada raja sudah ada dalam Akta Hasutan. Tindakan memang boleh diambil,” katanya ringkas kepada Ismaweb.net hari ini.

Akta Hasutan bertujuan mengekang perbuatan yang boleh melahirkan kecenderungan menghasut terhadap institusi beraja, hubungan di antara rakyat-raja di negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Menurut Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, kecenderungan menghasut boleh dikatakan sebagai sehingga membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada raja.

Seksyen 3 Akta Hasutan juga menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan kebencian di antara kaum atau agama.

Sebelum ini, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar didakwa mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur hasutan dan provokasi terhadap sidang Parlimen yang berlangsung Isnin lalu.

Menerusi satu video berdurasi hampir tiga minit, Xavier menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna.

Xavier dilaporkan berkata, Ahli Parlimen cuma berada sejam sahaja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan COVID-19.

Ramai pihak mengecam perbuatan biadab Ahli Parlimen Kuala Langat itu yang dilihat bukan sahaja tidak menghormati institusi raja dan Perlembagaan Persekutuan, malah mencetuskan kemarahan dan menggugat keharmonian masyarakat.

Sehingga kini, polis menerima sebanyak 33 laporan di seluruh negara berhubung dakwaan Xavier itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close