Berita Utama

Isu pelancong China, India tenggelam kerana serbuan PATI

Sejauh mana seriusnya kelemahan dalaman seperti dilapor Ketua Audit Negara

BANGI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Rakyat sehingga kini tertunggu-tunggu tindakan pihak berkuasa yang berjanji akan menyelesaikan isu kemasukan lebih 100,000 pelancong China dan India yang tiada rekod keluar dari Malaysia susulan laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 didedahkan.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pasir Puteh, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, tumpuan hanya diberikan kepada penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) di pasar borong sekitar bandar raya yang membabitkan pelarian Myanmar, Bangladesh dan lain-lain berikutan pandemik COVID-19.

Sedangkan, katanya, isu membabitkan lebih 100,000 pelancong China dan India tenggelam dengan operasi serbuan oleh pihak berkuasa di pasar borang berkenaan.

“Setakat ini, PDRM sahaja yang menyatakan dalam akhbar bahawa tindakan akan dilakukan, tetapi apa tindakannya? Sekali pandang macam pahat dengan penukul saja isu ini ditangani.

“Sejauh mana kelemahan dalaman yang serius sebagaimana laporan Ketua Audit Negara. Perlu kepada perincian. Amat dibimbangi tiada data yang jelas lebih-lebih lagi data disimpan secara offline dan manual,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ustaz Sharipudin turut menuntut penjelasan pihak berwajib berhubung maksud pengesahan data kemasukan pelancong secara manual dan offline.

“Adakah kemungkinan berlaku kehilangan data atau keciciran data secara sengaja atau tidak disengajakan. Pelbagai andaian boleh berlaku kerana sehingga kini tiada kenyataan dari mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button