Berita Utama

Janganlah khuatir, TNB jamin berlaku adil dalam pelarasan bil

Pakej pasca PKP tawar diskaun berperingkat sehingga 50 peratus

BANGI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan berlaku adil dalam isu pelarasan bil elektrik dan akan sensitif dengan kegelisahan segelintir pengguna, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak bimbang sebaik menerima bil sebenar berikutan penyambungan semula pembacaan meter yang dihentikan sementara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum mengenai aduan pengguna mengenai bil tinggi yang diterima menerusi pembacaan bil fizikal yang disambung semula sejak 15 Mei lalu.

“Janganlah khuatir. TNB sentiasa berlaku adil dan sensitif dengan kegelisahan segelintir pengguna yang menerima bil sebegini.

“Pegawai Khidmat Pelanggan kami di talian TNB CareLine 1300 88 5454 dan Kedai Tenaga sentiasa bersedia untuk membantu menjelaskan mengenai perkiraan bagaimana pelarasan bil dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

TNB sebelum ini memaklumkan bahawa sebaik pembacaan bil disambung semula, bil pelanggannya akan diselaraskan.

Semasa operasi pembacaan meter dihenti sementara, TNB mengeluarkan bil anggaran berdasarkan bil bulan sebelum PKP berkuat kuasa.

Mahdzir berkata, sebagai syarikat yang prihatin mengenai impak wabak COVID-19 kepada rakyat, TNB telah mengumumkan mengenai pakej pasca PKP merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj bayar lewat (sehingga 30 September 2020) dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan sehingga 31 Julai.

Selain pakej pasca PKP, TNB juga menawarkan diskaun berperingkat berjumlah 2 peratus hingga 50 peratus bagi penggunaan dari 1 April 2020 hingga 30 September, katanya.

“Kesemua ini ditawarkan secara automatik kepada 7.5 juta pelanggan kediaman kami.

“Diskaun berperingkat dan pakej pasca PKP ini diharap dapat meringankan lagi beban rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19,” katanya.

Mahdzir memaklumkan, pelanggan TNB boleh mendapatkan makluman mengenai perkiraan bil semasa PKP dengan melayari https://www.tnb.com.my/prihatin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close