Berita Utama

Kemelut PN-PH: PRU mungkin pilihan terakhir bentuk kerajaan kukuh

PAS, UMNO dijangka boleh menang selesa melalui Muafakat Nasional

BANGI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Meskipun negara kini diuruskan dengan baik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun kedudukan kerajaan dilihat masih lagi tidak stabil, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Katanya, ini kerana Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh dipercayai mempunyai sokongan majoriti yang sangat tipis, iaitu antara satu hingga dua Ahli Parlimen sahaja.

Ditambah pula dengan fenomena pemimpin-pemimpin politik kini yang sering melompat parti, maka kedudukan majoriti mana-mana individu sedang bersaing untuk menduduki jawatan Perdana Menteri semakin kurang jelas dan samar, katanya

Apatah lagi, kedudukan Muhyiddin, kerana Tun Dr Mahathir Mohamad hampir pasti akan melakukan apa sahaja usaha untuk menjatuhkan kerajaan PN, dakwa Dr Mazlan.

“Saya menjangkakan, negara akan berdepan dengan dilema yang sangat besar, kerana faktor pertembungan politik antara Muhyiddin dan Dr Mahathir dalam situasi negara berdepan dengan wabak COVID-19 dan masalah ekonomi.

“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin pilihan terakhir untuk atasi kemelut politik ini, untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang lebih kuat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pun begitu, beliau berkata, ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk diambil oleh Muhyiddin kerana PRU-15 mungkin memberi kesan terhadap survival politik beliau.

“Tetapi PAS dan UMNO mungkin bersetuju PRU-15 diadakan segera kerana kedua-dua parti ini dijangka boleh menang selesa.

“Sekiranya berlaku ‘deadlock’ antara PN dan PH, PRU-15 adalah pilihan yang wajar,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Muhyiddin kerana berang dengan beliau memberi peluang kepada parti dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum dua tahun lalu kembali berkuasa.

Dr Mahathir juga berkata, pakatan Muhyiddin hanya meraih kelebihan dua kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan berkata beliau akan meneruskan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan PN.

“(Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi perdana menteri, kami akan lakukannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close