Berita UtamaIstimewa

Agungkan komunis dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 perbuatan khianat negara

Pelik! Takkan panel penulis naif mengenai pejuang kemerdekaan Tanah Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Naratif prokomunis yang ditonjolkan dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 seolah-olah satu pengkhianatan terhadap negara.

Ada pihak jelas berusaha mengagungkan ideologi komunis dan mengiktiraf mereka sebagai pejuang kemerdekaan, kata Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang.

Tindakan itu pastinya akan menghasilkan pemikiran pelajar yang boleh menerima ideologi komunis yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Walhal, katanya, mempelajari sejarah dan tokoh-tokoh pejuang negara adalah suatu keperluan dalam membangunkan negara bangsa.

“Kita pandang serius isu ini, kerana penerapan ideologi komunis ke dalam minda rakyat terutama pelajar sekolah secara terang-terangan akan mendatangkan ancaman kepada perpaduan nasional.

“Amat dikesali apabila fakta sejarah diselewengkan. Ini terbukti apabila laporan polis dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jika hal ini berterusan, tentu sekali membawa impak ketidakadilan kepada pewaris pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, wakil gabungan NGO-NGO Melayu membuat laporan polis berhubung fakta di dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa telah diselewengkan.

Selain daripada memasukkan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan, buku teks Sejarah tingkatan 4 itu juga mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.

“Penerangan mengenai gerakan nasionalis radikal terlalu terperinci. Tajuk-tajuk berkaitan seperti Gerakan Nasionalis Radikal Melayu, Gabungan Putera-AMCJA, Sumbangan Nasionalis Radikal, Cadangan Putera AMCJA dan Perlembagaan Rakyat,” kata wakil NGO-NGO berkenaan.

Pada masa sama, Azizah yang juga bekas guru mempertikaikan kredibiliti panel penulis skrip Buku Teks KSSM Sejarah Tingkatan 4.

Ini kerana, katanya, tidak mungkin mereka sebagai rakyat Malaysia naif tentang pejuang sebenar kemerdekaan Tanah Melayu.

“Mungkinkah ada niat jahat dan tangan-tangan ghaib di belakang mereka? Sepatutnya Kementerian Pendidikan mewujudkan panel bebas untuk menilai dan meluluskan skrip yang ditulis oleh barisan penulis sesebuah buku teks.

“Apatah lagi tentang sejarah negara yang berkait rapat dengan pembangunan negara bangsa.

“Kita gesa pihak berwajib menjalankan siasatan lanjut ke atas isu ini dan seterusnya segera membaiki fakta-fakta yang telah diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button