Berita Utama

Logo Muzakki bakal cetus fenomena baharu ekonomi Islam

Kutipan zakat negeri dijangka meningkat, kempen BMF lebih kukuh

BANGI, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Inisiatif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkenalkan sijil dan logo pengesahan Muzakki (pembayar zakat) bagi membantu mempromosikan syarikat pembayar zakat di negeri itu disambut baik.

Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS), Ustaz Bilal Jailani berkata, inisiatif pertama seumpamanya itu bertujuan membantu perniagaan syarikat yang membayar zakat, di samping memudahkan pelanggan memilih produk keluaran muslim, disifatkan sebagai satu tindakan yang bijak.

Idea logo itu jika dipraktikkan secara meluas, kata Ustaz Bilal, dan dijangka diikuti semua pihak pengurusan zakat negeri di seluruh Malaysia. 

“Maka, tak lama lagi, pembeli mempunyai lebih maklumat sebelum membuat pemilihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di samping itu, langkah itu juga sekali gus akan menggalakkan peniaga muslim untuk membayar zakat, walaupun di Malaysia ini tiada undang-undang yang boleh menghukum peniaga yang lari dari zakat perniagaan, kata Ustaz Bilal.

“Kajian Ram Al Jafri Saad (et al) pada tahun 2010 menyebutkan, daripada 5,000 orang peniaga muslim di Kuala Lumpur, hanya 500 orang yang melunaskan zakat perniagaan.

“Bayangkan, jika peniaga menjaga logo zakat ini sebagaimana mereka menjaga logo halal, pastilah kutipan zakat negeri akan meningkat, dan kempen beli produk muslim (BMF) akan berada di satu tahap yang kukuh,” katanya.

Bagi memastikan inisiatif ini berjaya, Ustaz Bilal mencadangkan agar pihak pengurusan zakat negeri memperkenalkan infrastruktur yang lengkap.

“Logo Muzakki itu mesti verifiable kepada pengguna, dan mempunyai undang-undang yang tegas bagi penyalahgunaan logo Muzakki. Semua framework ini sudah ada dalam pensijilan Halal Malaysia,” katanya.

Contoh Logo dan Sijil Pengesahan Muzakki

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, sehingga kini pihaknya sudah menyiapkan 130 sijil pengesahan Muzakki dan mereka boleh mempamerkan logo dan sijil ini di premis perniagaan ataupun kenderaan rasmi mereka.

Beliau berkata, setiap muzakki akan dibekalkan dengan satu nombor siri khas yang akan dipantau oleh LZNK dari semasa ke semasa serta bagi mengelakkan penipuan sijil.

“Muzakki juga akan dibekalkan dengan satu logo Sahabat Zakat Kedah yang berfungsi seperti logo halal JAKIM bagi tujuan digunakan di semua bungkusan produk yang dikeluarkan syarikat tersebut bagi memberikan keyakinan kepada pembeli bahawa ini adalah produk Muslim dan juga pembayar zakat,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close