Berita Utama

Penghantaran pulang mahasiswa dihentikan sementara

Proses akan disambung semula selepas hari raya kelima

KUALA LUMPUR, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Seramai 1,722 mahasiswa yang masih berada di institut pengajian tinggi (IPT) akan dihantar pulang selepas hari raya kelima iaitu pada 28 Mei, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, proses penghantaran pulang mahasiswa ke kampung halaman masing-masing ketika ini dihentikan sementara susulan sambutan Aidilfitri.

“Proses penghantaran pulang itu dijadualkan bersambung semula pada 28 Mei, iaitu hari raya kelima.

“Proses ini akan merangkumi tiga penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan tiga penerbangan lagi dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Pada 21 April lalu, kerajaan membenarkan kira-kira 100,000 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara yang berada di kampus, untuk pulang ke rumah masing-masing.

Ismail Sabri berkata, pelajar akan diambil dari kampus dengan bas dan terus dibawa ke daerah masing-masing serta dihantar ke balai polis atau pejabat daerah, sebelum barisan hadapan di sana menghantar mereka terus ke rumah.

Pelajar yang memiliki kenderaan sendiri juga dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan mereka hanya memandu seorang sahaja.

Beliau berkata, sejak 27 April lalu hingga kelmarin, KPT sudah menghantar pulang 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close