Berita Utama

Syawal jauh di mata, dekat di hati

Berhari raya kini perlu ikut ketetapan SOP akibat penangan COVID-19

KUALA LUMPUR, 29 Ramadan 1441H, Jumaat – Bait-bait lagu ‘Indahnya Beraya di Desa’, dendangan Azlina Aziz yang menyampaikan mesej agar anak perantau pulang ke kampung halaman dan mengunjungi sanak saudara semasa Aidilfitri, cukup membangkitkan keterujaan kepada mereka yang mendengarnya.

Bukan sahaja anak perantau, malah bagi kebanyakan ibu bapa di kampung juga begitu gembira, tidak sabar menanti kepulangan anak kesayangan untuk pulang ke pangkuan bersama-sama meraikan Aidilfitri.

Namun Aidilfitri yang semakin hampir kali ini ternyata sekali berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini bukan sahaja kepada umat Islam yang lain malah kepada Zurina Mohd Ali, 59, di Sungai Ara, Pulau Pinang dan suaminya Md Wazilah Ismail, 61 tahun.

Kira-kira seminggu menjelang Aidilfitri, kebiasaannya beliau dan suami agak sibuk membuat persiapan bagi menyambut kepulangan tiga anaknya yang merantau di ibu kota, dengan satu ‘tugas’ utamanya adalah menyediakan kuih kegemaran mereka, khususnya ‘chocolate rice’ dan tart nanas.

Wabak COVID-19, musuh senyap yang tidak kelihatan, yang masih menular jelas merubah segalanya. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyaksikan kerajaan berpendirian tidak membenarkan amalan balik kampung, tradisi yang cukup sinonim menjelang Aidifitri.

Kalau dahulu berayalah ke mana, bila-bila masa, sebulan Syawal diraikan, tapi sekarang, beraya perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP). Begitulah penangan COVID-19, yang melanda dunia.

Antara SOP raya, ziarah hanya pada hari pertama dengan kehadiran tidak lebih 20 orang daripada kalangan keluarga terdekat, tiada rumah terbuka, tiada bersalam-salaman, selain tidak digalakkan menziarah kubur, kesemuanya demi kelangsungan usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang sedang dibanteras habis-habisan sejak tiga bulan lepas.

“Inilah kali pertama mak cik menyambut Aidilfitri tanpa anak di sisi,” luah Zurina, yang akur dengan keputusan kerajaan demi kebaikan bersama semua orang.

Menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu, Zurina berkata hari kemenangan umat Islam berpuasa sebulan Ramadan itu tetap disambut penuh kesyukuran walaupun tanpa riuh rendah dan gelak ketawa tiga cucu kesayangannya serta kehadiran anak di sisi, menerusi persiapan ala kadar cukup untuk beliau dan suami tercinta serta beberapa keluarga terdekat.

Beliau berkata, rumah tetap dihias, baju sedondon sudah pun ditempah, malah akan memasak juadah raya seperti kebiasaan iaitu ketupat, rendang, serunding dan nasi tomato pada Aidilfitri untuk dinikmati bersama anggota keluarga terdekat yang ada pada hari raya pertama.

Bagi mengubat rindu kepada anak cucu, Zurina bercadang membuat panggilan video kepada ketiga-tiga anaknya di pagi Aidilfitri, memanfaatkan teknologi komunikasi untuk menatap wajah-wajah yang dirindui.

Bagi Murni Md Rejab, 32, yang menetap di Shah Alam, Selangor, tahun ini juga kali pertama beliau tidak dapat pulang beraya di kampungnya di Permatang Berangan, Sungai Petani, Kedah. Lazimnya beliau akan mengambil cuti agak lama dan sebelum balik kampung, akan membeli baju raya dan kuih raya untuk ibu tercinta.

“Kebiasaanya kalau dekat-dekat nak raya kami di kampung selalunya bersihkan rumah, pasang lampu pelita, buat kuih raya, pasang tirai dan tikar baharu tapi tahun ini tak dapatlah, memang sedih tapi nak buat macam mana. Tapi tak apa, baju raya untuk mak saya sudah beli awal-awal lagi.

“Duit raya juga akan saya bank-in, tak dapat bertemu, peluk dan cium semua tak bererti kasih sayang itu putus. Mak ada pesan kalau tak boleh balik, duduk sini sampai semuanya pulih seperti sediakala,” katanya yang pasti akan merindui nasi briyani dan bihun sup air tangan ibunya setiap kali Aidilfitri.

Mujur juga tiga rakan serumah tidak dapat pulang ke kampung masing-masing, mereka berpakat membuat persiapan raya seperti menghias rumah serta membeli kuih raya, selain beliau sendiri bercadang menyediakan laksa utara pada hari raya pertama nanti.

“Kalau kerajaan perketat undang-undang macam awal-awal PKP lebih elok, tak ada ziarah raya pun tak apa sebab sekarang ramai yang ingkar dan anggap COVID-19 sudah tiada,” katanya, yang hanya akan duduk di rumah sahaja bersama rakan-rakan merayakan Aidilfitri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close