Berita Utama

Guna teknologi jadi agen sebar kebaikan

Sahkan dulu berita yang diterima, rujuk sumber berautoriti

BANGI, 30 Ramadan 1441H, Sabtu – Di akhir Ramadan, umat Islam disarankan mengambil peluang menghantar ucapan berunsur kebaikan bagi meraikan kemenangan Ramadan tatkala negara menghadapi dugaan mencabar dengan wabak COVID-19.

Pengerusi Media Isma Sdn Bhd, Dr Norzila Baharin mengesyorkan kecanggihan teknologi sedia ada digunakan sepenuhnya untuk menghantar ucapan sama ada dalam bentuk video serta doa.

Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya berhati-hati dan sering berwaspada dengan sebaran berita palsu dan fitnah yang sentiasa membanjiri media sosial.

“Pastikan kita sahkan dahulu dengan badan yang berintegriti dan sahih serta merujuk sumber lain sebelum kita berkongsikannya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Norzila turut menggesa orang ramai supaya menggunakan teknologi media sosial dan sebagainya untuk menyebarkan kebenaran, kebaikan dan keadilan dan bukannya kepalsuan, kejahatan serta fitnah yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

“…dan ummah secara amnya dan keluarga secara peribadi khasnya. Jadilah agen menyebar kebaikan dan bukannya menyebar kerosakan,” katanya.

Untuk rekod, sehingga 16 Mei, sebanyak 265 kertas siasatan membabitkan berita palsu COVID-19 dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, 178 daripada jumlah itu masih dalam siasatan, manakala 30 kes didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 lagi mengaku bersalah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close