Berita UtamaDunia

92 maut pesawat Pakistan terhempas

Dua penumpang terselamat, 19 mayat sudah dikenal pasti

ISLAMABAD, 30 Ramadan 1441H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 92 maut apabila pesawat penumpang Airbus A320 terhempas di kawasan perumahan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Karachi, kata pegawai.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Meeran Yousuf berkata, sekurang-kurangnya dua penumpang lelaki penerbangan Pakistan International Airlines (PIA) PK-8303 dari Lahore ke Karachi terselamat daripada nahas semalam.

“Seramai 92 orang meninggal dunia, dengan 60 mayat disimpan di Pusat Perubatan Pascasiswazah Jinnah – hospital kerajaan terbesar di Karachi, dan 32 lagi di Hospital Awam Karachi – sebuah lagi hospital besar yang dikendalikan oleh kerajaan,” katanya seperti dilapor Al Jazeera.

Yousuf berkata, kedua-dua mangsa yang terselamat dirawat di hospital di Karachi, sementara 19 mayat telah dikenal pasti setakat ini.

“Beberapa penduduk yang tercedera ketika kapal terbang itu terhempas menghempap rumah di Model Colony yang padat penduduknya di Karachi, berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa bandar itu sedang dirawat,” katanya.

Kemalangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Pakistan menyambung semula penerbangan komersil.

Difahamkan insiden itu berlaku beberapa saat selepas juruterbangnya melaporkan terdapat masalah teknikal.

Pakistan menggantung operasi penerbangan antarabangsa pada 21 Mac berikutan jangkitan COVID-19 dari luar negara terutamanya dari Iran dan negara Teluk.

Kira-kira 20 peratus penerbangan domestik akan kembali beroperasi di lima lapangan terbang utama di Islamabad, Karachi, Lahore, Quetta, dan Peshawar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close