Berita UtamaPendapat

Aidilfitri dan COVID-19

Alam sekitar sihat bila aktiviti manusia terhenti ketika wabak

HARI Raya Aidilfitri tahun ini sepatutnya bukan hanya mengembalikan kita sebagai muslim khususnya kepada fitrah, tetapi juga alam ini kepada fitrah.

Sebagaimana hadis Nabi Muhammad ﷺ:

“Barangsiapa yang tidak mahu meninggalkan perkataan kotor ataupun perbuatan keji, maka Allah SWT tidak memerlukan usahanya untuk meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Imam Muslim).

Puasa telah mendidik kita meninggalkan perbuatan yang keji sepanjang Ramadan. Hakikatnya, melakukan sesuatu yang boleh merosakkan dan mencemarkan alam juga adalah antara perbuatan yang dikeji Allah SWT. Natijahnya juga adalah dosa di sisi Allah SWT.

Analisa indeks pencemaran di sungai dan udara dalam tempoh wabak ini menunjukkan bahawa alam sekitar kita telah kembali kepada fitrah apabila aktiviti manusia yang merosakkan alam dihentikan secara paksa oleh virus COVID-19.

Fenomena ini berlaku di seluruh dunia, alam menjadi sihat semula untuk kehidupan manusia, haiwan dan hidupan lain.

Jika direnungi secara mendalam hakikat ini pasti kita akan sedar, anak cucu kita hanya akan berpeluang untuk hidup secara sihat, jika kita berhenti melakukan jenayah dan dosa kepada alam sekitar.

Persoalanya, adakah bencana pandemik ini telah mengajar kita sesuatu?

Peringatan Allah SWT:  “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah SWT memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu,” (Surah ash-Shura, ayat 30).

Moga Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi kita kefahaman baru tentang kepentingan mengembalikan alam kepada fitrahnya untuk kepentingan generasi akan datang.

Ia bermula dengan menambah ilmu kita terhadap kepentingan alam sekitar, mengetahui punca-punca pencemaran alam sekitar dan bertindak menjadi warga yang perihatin terhadap alam sekitar.

Inilah aset terpenting yang wajib kita wariskan.

Salam Aidilfitri.

Dr Kamil A Tohiran
Pengerusi Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close