Berita Utama

COVID-19 muhasabah untuk umat Islam berpegang pada syariat

Pemikiran liberal, ateisme, 'freethinker' mula merebak di kalangan anak muda

BANGI, 30 Ramadan 1441H, Sabtu – Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia perlu dilihat sebagai satu bentuk muhasabah untuk umat Islam memperteguhkan semula hidup mereka berpegang kepada syariat Islam.

Majlis Ulama ISMA (MUIS) menerusi Khutbah Raya Aidilfitri berkata, tiada musibah yang menimpa kita melainkan peringatan daripada Allah bahawa jauhnya umat Islam daripada ajaran Islam.

“Cabaran dunia hari ini berbeza dengan cabaran di masa silam. Jika dahulu kita risau ancaman pemikiran dan maksiat masuk melalui antena-antena televisyen, namun hari ini ianya lebih pantas melalui rangkaian 4G, 5G dan jalur optik menggunakan antena-antena di telefon bimbit anak-anak kita.

“Kita dapati anak muda hari ini menghadapi ungkapan-ungkapan ateisme dan pemikiran karut yang begitu meluas melalui gerakan-gerakan liberal dan ‘freethinker’ di media sosial. Pendakwaan bahawa Islam hanyalah budaya dan bukan agama semakin tular.

“Penafian kenabian Nabi Muhammad juga menjadi tular, dan terkini sudah mula merebak dalam kalangan anak-anak muda kepercayaan teori evolusi tajaan Barat lalu menafikan penciptaan Nabi Adam!” tegasnya.

Dari sisi lain, MUIS berkata, hiburan tanpa batas serta maksiat turut merisaukan umat Islam.

“Di dalam keadaan perintah berkurung, kita risau anak-anak yang terkurung di dalam bilik lebih daripada keadaan mereka berjalan-jalan di luar sana.

“Maksiat sudah begitu murah dan mudah dicapai, seperti rakaman-rakaman tarian di sesebuah aplikasi, video-video tak senonoh dan hubungan songsang yang menunjukkan bahawa trend ini semakin merisaukan kita.

“Data daripada laman web pornografi mencatatkan kenaikan trafik sebanyak 84 peratus sepanjang penularan wabak COVID-19. Ke manakah hala tuju kekeluargaan muslim dengan syubhat pemikiran Yahudi dan Nasrani ini dan agenda syahwat mereka? Ke manakah hala tuju anak-anak kita dengan kebudayaan hiburan tanpa batas dan maksiat?” soalnya.

Dalam pada itu MUIS berkata, wabak COVID-19 yang menimpa umat Islam seharusnya memberikan pendedahan kepada mereka terhadap kefahaman tawakal dan usaha.

Jelasnya, Islam mengajar umat untuk memahami bahawa ketergantungan manusia kepada Allah SWT tidak menghilangkan daya usaha dan ikhtiar mereka dalam mengambil sebab dan musabab untuk mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini.

“Hal ini kerana Islam menggalakkan manusia untuk berfikir, bertindak dan berani membuat keputusan. Sekiranya kefahaman tawakal akan meluputkan kemampuan dan ketinggian nilai manusia dalam menentukan tindakan, maka ia adalah satu kefahaman yang tempang kerana bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.

“Justeru dalam menangani wabak ini, Islam mengutamakan pandangan-pandangan ahli yang berkepakaran dalam bidang-bidang tertentu untuk menentukan apakah langkah terbaik dalam sesuatu isu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close