Berita UtamaDunia

COVID-19: Sistem kesihatan Yaman tumbang, perlu dana segera

Kerajaan hanya lapor sebahagian kecil kes dari jumlah sebenar

GENEVA, 30 Ramadan 1441H, Sabtu – Novel coronavirus kemungkinan merebak dengan cepat ke Yaman, di mana sistem penjagaan kesihatan ‘telah runtuh’, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam ketika mendesak sumbangan dana segera.

Jurucakap pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jens Laerke memberi amaran itu ketika taklimat dari Geneva yang mana agensi bantuan di Yaman ‘beroperasi berdasarkan penyebaran penduduk di seluruh negara’.

“Kami mendengar banyak rintihan dari mereka bahawa Yaman benar-benar berada di ambang pada masa sekarang. Keadaannya amat membimbangkan … sistem kesihatannya sudah runtuh,” katanya.

Laerke berkata, pekerja bantuan kemanusiaan melaporkan terpaksa berpaling dari penduduk kerana mereka tidak mempunyai rawatan oksigen mencukupi atau bekalan peralatan pelindung diri.

Katanya, PBB menganggarkan akan meminta dana sebanyak AS$2 bilion untuk Yaman bagi mengekalkan program bantuan hingga akhir tahun.

“Setakat ini hanya AS$677 juta disumbangkan tahun ini berbanding dengan lebih dari AS$4 bilion pada 2019,” katanya.

Sementara itu, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) – badan amal perubatan yang menjalankan pusat rawatan utama coronavirus di selatan Yaman – mengatakan bahawa pihak berkuasa kerajaan melaporkan hanya sebahagian kecil dari jumlah sebenar kes yang melanda negara itu.

Sehingga Khamis, MSF mencatatkan sekurang-kurangnya 68 kematian hanya dalam dua minggu.

Angka itu – lebih dari dua kali ganda jumlah yang diumumkan oleh pihak berkuasa Yaman setakat ini – menunjukkan ‘malapetaka yang lebih luas terjadi di bandar’, kata MSF seperti dipetik Reuters.

Pihak berkuasa Yaman melaporkan 184 jangkitan coronavirus, termasuk 30 kematian, kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Agensi

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close