Berita Utama

Lelaki mengamuk langgar 5 orang awam dipercayai mabuk

Suspek tak puas hati tindakan seorang lelaki ketuk cermin sisi kereta

KUALA LUMPUR, 30 Ramadan 1441H, Sabtu – Seorang lelaki yang mengamuk dan melanggar lima orang awam dengan keretanya di perkarangan tapak penjaja di Pekan Bukit Sentosa, dekat sini, semalam, dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pemborong tayar, melanggar gerai serta pengunjung di tapak penjaja itu, menyebabkan lima orang awam cedera.

Beliau berkata, lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (11) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan polis meminta saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noor Azam menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian negatif terhadap kejadian itu dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki ditahan selepas mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin sisi keretanya semasa dia membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa.

Berikutan itu, lima orang mengalami kecederaan akibat dilanggar lelaki terbabit.

Terdahulu, tular di laman sosial yang memaparkan video berdurasi seminit lapan saat dan satu lagi video sama berdurasi 44 saat menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close