Berita UtamaPendapat

Normal baharu pendidikan mesti jaga aspek keselamatan, kesihatan

Ramadan sebagai madrasah tarbiyah ajar nilai kesabaran, ketekunan

ALHAMDULILLAH, tahun ini kita menyambut ketibaan Ramadan dengan normal baharu akibat pandemik COVID-19.

2. Begitu juga kita meraikan ketibaan 1 Syawal dengan suasana baharu yang berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini setelah kita menekuni ibadah puasa di bulan penuh keberkatan.

3. Ramadan berlalu pergi dan Syawal bakal mendakap tiba. Semoga segala pengalaman dan hikmah yang diperolehi benar-benar mendidik dan mengasuh jiwa kita untuk menjadi insan bertaqwa.

4. Tempoh PKP telah memberi peluang para guru untuk kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas keguruan. Para guru telah menggunakan segala ilmu dan kemahiran digital untuk memastikan proses penyampaian ilmu kepada murid-murid tidak ketinggalan.

5. Semangat seorang guru dengan jiwa ‘Sang Murobbi’ tetap membara di sanubari meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan. Segala aplikasi digital dihadamkan, segala e-learning disebar luaskan demi mencapai matlamat keilmuan sebagaimana tema hari guru ‘Berguru Demi Ilmu Bina Generasi Baharu’.

6. Kerja mendidik yang tidak ada sempadan masa dan tempat serta keyakinan bahawa ilmu penting sepanjang hayat menjadikan warga guru memahami bahawa masa depan generasi bergantung kepada kekuatan ilmu dan pembinaan watak generasi selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Apatah lagi generasi yang kita hadapi adalah generasi digital yang sarat dan rencam dengan pelbagai cabaran serta menuntut santunan ilmu dan budi.

7. Ramadan sebagai madrasah tarbiyah telah mengajar kita nilai kesabaran, ketekunan, keprihatinan, kesungguhan serta disiplin tinggi untuk mencapai makna sebuah kejayaan dalam hidup. Nilai-nilai ini amat penting kepada warga guru untuk mendidik generasi dan membangun pertiwi dalam suasana pembelajaran baharu dan normal baharu.

8. Tarbiyah Ramadan juga telah mendidik kita aspek keselamatan dan kesihatan. Mereka yang berpuasa secara sihat fizikal dan spiritual bertujuan mendapat keselamatan di dunia dan akhirat.

9. Justeru normal baharu pendidikan nanti mestilah menekankan dua aspek ini iaitu keselamatan dan kesihatan. Penekanan kepada aspek keselamatan dan kesihatan para guru dan murid-murid dalam proses PdPc amat penting agar dunia pendidikan kita terus relevan dan kekal inovatif berdepan cabaran alaf digital dan Revolusi Industri 4.0.

10. Kesempatan ini, mewakili warga i-Guru mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya dan Maaf Zahir Batin. Semoga Allah menerima amalan kita dengan sebaik-baiknya.

Ustaz Mohd Azizee Hasan
Presiden i-Guru

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button