Berita UtamaPendapat

Perutusan Aidilfitri BERJASA

Kemenangan Syawal turut diraikan dengan jihad tangani COVID-19

BERSEMPENA Hari Raya Aidilfitri yang akan kita sambut pada 1 Syawal 1441H, saya mewakili semua warga parti BERJASA ingin mengucapkan Selamat Hariraya Aidilfitri, maaf zahir batin, wakullu ‘am wa antum bikhair!

2. Dalam sirah Nabi Muhammad ﷺ mengisahkan bahawa setelah Baginda ﷺ berhijrah ke Madinah, Baginda ﷺ mendapati penduduknya menjadikan 2 hari tertentu sebagai hari kebesaran, lalu bertanya: “Hari apakah ini?”

Mereka menjawab: “Kami bergembira di dalamnya sejak zaman jahiliah lagi”.

Lalu Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan 2 hari tersebut bagi kamu dengan 2 hari yang lebih baik iaitu Hari (Raya Aidil) Adha dan Hari (Raya Aidil) Fitri” (riwayat Abu Daud).

Dan kita sambut kegembiraan ini dengan takbir dan tahmid sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., “Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid”.

3. Hari Raya Aidilfitri adalah satu hari besar yang diraikan oleh Islam sebagai tanda kemenangan umat Islam sepanjang Ramadan dalam perjuangan jihad nafsu.

Terdapat pelbagai jenis jihad dalam Islam yang perlu kita lakukan.

Antaranya jihad nafsu, jihad peperangan, jihad ilmu, jihad munafik, dan jihad ekonomi.

Dengan kejayaan jihad nafsu, jihad-jihad lain akan menjadi lebih mudah.

4. Alhamdulillah, walaupun tahun 2020 ini kita menjalani ibadah puasa dan juga meraikan Hari Raya dengan jihad dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19, kita bersyukur kepada Allah SWT diatas banyak nikmat dan kelebihan yang dianugerahkan kepada kita, walaupun menempuhi pelbagai kesukaran.

5. Dalam kita meraikan kemenangan di bulan Syawal, kita juga bersyukur dalam jihad kita menangani wabak COVID-19, yang telah menunjukkan tanda-tanda awal kemenangan kita sebagai rakyat Malaysia.

Kita bersyukur dan berterima kasih kepada barisan hadapan (frontliners) kita yang terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pasukan keselamatan dan lain-lain, yang telah bekerja keras membantu mecapai kejayaan membanteras COVID-19.

Semoga jasa dan pengorbanan mereka dibalas oleh Allah SWT.

6. Marilah kita jadikan sambutan Aidilfiri pada tahun ini dengan bekalan sebulan beribadah kepadaNya, untuk kita memperbaharui azam kita dalam memperbaiki diri, membimbing keluarga, menyumbang kepada masyarakat dan membangunkan negara dalam erti kata yang sebenar.

7. BERJASA juga ingin menyeru kepada umat Islam negara ini untuk memulihkan hubungan persaudaraan sesama kita, mengukuhkan perpaduan kita dengan berpegang teguh dengan tali Allah sebagaimana firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan kamu berpecah belah. Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan lalu Allah mentautkan hati-hati kamu, lalu dengan nikmatNya kamu menjadi bersaudara”.

8. Persaudaraan dan perpaduan antara kita amat penting untuk diutamakan dalam memastikan identiti bangsa dan agama kita dapat dipertahankan demi kestabilan dan keharmonian negara.

Dengan bersatupadu dan bekerja dalam satu kesatuan yang berlandaskan Islam, negara akan menjadi kuat dan tidak mudah diganggu gugat oleh pihak musuh yang cuba mengambil kesempatan dalam setiap krisis dan perkelahian di antara kita.

9. Menjadi tanggungjawab kita semua untuk mempertahankan yang hak (kebenaran) dan menegakkan keadilan bagi memastikan kesempurnaan insaniah (kemanusiaan) dalam memburu kebahagiaan sebenar di dunia dan akhirat.

10. Semoga pengorbanan kita semua dalam bulan Ramadan dan pengorbanan menghadapi wabak COVID-19 akan menjadikan kita orang yang lebih dekat dan bertakwa kepada Allah SWT dalam menunaikan tanggungjawab kita dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Ia bagi membangunkan semula satu peradaban Islam yang gemilang di masa akan datang.

11. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd!

Datuk Dr. Ir. Ts Badhrulhisham Abdul Aziz
Presiden BERJASA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close