Berita UtamaIstimewaPendapat

Rapatkan ukhuwah, henti persengketaan Aidilfitri ini

Ahli politik perlu henti bersengketa, berebut kuasa

ALHAMDULILLAH, setinggi-tinggi kesyukuran kita ucapkan kepada Allah S.W.T, kerana diberikan peluang dan kekuatan untuk melalui bulan Ramadan dan akhirnya dapat menyambut Aidilfitri hasil perjuangan kita melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan.

Maka, atas kesempatan ini, saya mewakili keluarga saya serta seluruh saf kepimpinan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Sempena Aidilfitri ini, walaupun kita sedang diuji untuk bergelut berdepan dengan krisis wabak penyakit, ekonomi dan politik, saya ingin menyeru agar kita semua merapatkan ukhuwah sesama kita bagi menjamin kehidupan yang lebih sejahtera bersama.

Kepada ahli-ahli politik, sudah-sudahlah saling bersengketa, berebut kuasa dan fitnah-memfitnah antara satu sama lain.

Jadikan Aidilfitri ini menjadi titik permulaan ke arah kestabilan dan kesejahteraan, yang akhirnya menguntungkan rakyat dan negara.

Kepada para pejuang ekonomi Islam khususnya, ayuhlah kita istiqamah berjuang mendidik masyarakat untuk saling bantu-membantu dalam memperkasakan taraf ekonomi kita, terutamanya pada waktu kegawatan ekonomi ini.

Kepada para penggerak dan aktivis Islam khususnya, teruskan bergerak dan berbakti dalam menyebarkan kebenaran dan mesej tauhid serta berusaha bersungguh-sungguh membangun dan mempertahankan Malaysia sebagai negara Islam.

Kepada para pejuang barisan hadapan (frontliners), terima kasih kerana bakti dan kerja keras anda di mana, ramai di antara anda sedang bertungkus lumus berkhidmat dan bekerja walaupun pada hari raya ini terutamanya dalam melawan wabak COVID-19 ini.

Akhir sekali, saya mendoakan agar rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam akan lebih bersatu-padu dalam menghadapi masa mendatang yang pasti lebih mencabar. InsyaAllah.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Haji Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close